Ketahui bagaimana anda dapat memanfaatkan kuasa undian media sosial untuk memajukan perniagaan anda | CFM

MEMPERKASAKAN JENAMA DAN BISNES DENGAN KUASA UNDIAN MEDIA SOSIAL

Semua orang tahu bahawa asas sebuah perniagaan yang berjaya adalah dengan mengenali pelanggan – kehendak dan keperluan mereka, dan yang paling penting ialah faktor yang membuatkan mereka memilih sesuatu perniagaan itu yang dapat memberi perkhidmatan yang lebih baik. Persoalannya ialah bagaimana? Tentu sekali dengan bertanya kepada mereka melalui undian.

Sebelum ini, pemilik perniagaan dan jenama melakukan undian dan kumpulan fokus untuk menentukan apa yang pelanggan suka dan tidak suka berkenaan produk dan perkhidmatan mereka. Ia termasuklah aktiviti pergi rumah ke rumah yang melibatkan sekumpulan responden di sesebuah kawasan, yang akan meminta responden untuk mengisi borang dan menjalankan temu bual yang hasilnya kemudian akan disusun untuk mendapatkan jawapan. Ia merupakan sebuah tugas yang boleh dikatakan memakan masa.

Namun kini kita sangat beruntung. Dengan perkembangan media sosial, ia telah membantu memperkasakan kewujudan jenama dengan teknologi baharu yang membenarkan pengusaha empayar perniagaan untuk berhubung dengan pengguna secara lebih pantas bagi memperoleh pendapat daripada pengguna secara konstruktif agar dapat memacu perniagaan untuk pergi lebih jauh. Cara yang termudah adalah dengan memulakan undian media sosial.

APAKAH ITU UNDIAN MEDIA SOSIAL?

Undian membolehkan pemilik jenama atau perniagaan untuk mengetahui pilihan dan pendapat sekumpulan pengguna. Undian media sosial secara dasarnya bergantung pada platform media sosial sebagai cara berinteraksi dan mendapatkan pendapat secara langsung daripada pengguna.

Daripada menanyakan seribu satu soalan, undian media sosial menggunakan pendekatan dengan bertanya soalan yang pendek, mudah difahami dan menjurus kepada maksud penting. Ia juga menetapkan dua atau tiga pilihan komen balas. Kaedah ini menggalakkan penglibatan responden yang lebih ramai keranapengguna hanya perlu menekan komen balas yang disediakan daripada perlu berfikir untuk menaip jawapan panjang di telefon pintar.

Walau bagaimanapun, format itu tidak sesuai untuk hasil tinjauan yang rumit di mana hanya tinjauan secara menyeluruh sahaja dapat menyelesaikannya. Namun undian media sosial tetap mempunyai kelebihan tersendiri. Ia membolehkan usahawan untuk mendapatkan pendapat dan idea daripada pengguna di samping melakukan kajian pasaran secara umum dengan kos yang minimum dalam tempoh masa yang singkat.

Terdapat juga kemungkinan undian yang dijalankan akan dikongsi ramai orang dan menjadi tular. Ia memberi peluang yang lebih besar kepada pemilik perniagaan untuk mendekati rangkaian sosial peribadi pelanggan. Pada masa ini, semua media sosial utama – Facebook, Instagram, dan Twitter menawarkan kebolehan untuk mengadakan undian dengan pengikut dan pelanggan dalam beberapa cara dan bentuk.

MENGAPA PEMILIK BISNES DAN JENAMA MENGGUNAKAN UNDIAN MEDIA SOSIAL?

Manfaat menggunakan undian media sosial ialah menerima sudut pandang dan maklum balas mengenai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan pemilik perniagaan atau jenama daripada pengguna dan bagaimana untuk menjadikannya bertambah baik. Satu lagi manfaat utamanya ialah untuk menggalakkan perbualan bermakna antara pengguna dan pemilik jenama, di mana ia akan membantu meningkatkan kepentingan dan profil perniagaan.

Dari sisi lain, undian media sosial juga bermanfaat kepada pengguna kerana ia membolehkan suara kita sebagai pengguna didengari dan ia penting untuk membantu kita mendapatkan produk dan perkhidmatan yang kita mahu seperti liputan jalur lebar dan kualiti perkhidmatan yang lebih baik.

Beberapa contoh soalan yang sesuai untuk undian di media sosial ialah seperti;

Produk terbaharu akan datang perlu muncul dengan warna biru atau merah?

Adakah anda sukakan produk yang lebih murah berserta diskaun atau lebih banyak hadiah bersamanya sewaktu pelancaran produk?

Anda lebih suka liputan jalur lebar yang lebih meluas atau kualiti servis yang lebih baik?

Soalan-soalan seperti ini boleh membantu keputusan perniagaan anda dengan cara yang positif.

Tidak semestinya semua perlu melibatkan statistik berat atau berkaitan dengan pemasaran – undian media sosial juga boleh digunakan untuk berhubung dengan pengguna dan pengikut dengan soalan santai seperti;

Adakah nenas sesuai dijadikan lapisan atas pizza?

Anda sokong pasukan A atau pasukan B?

Kesimpulannya, undian media sosial bukan sahaja amat berkesan dari segi kos (ia sememangnya percuma!), tetapi ia adalah cara yang pantas dan berkesan untuk mendapatkan pandangan secara langsung daripada pelanggan. Ia menjadikannya satu senjata tambahan yang amat diperlukan bagi mana-mana perniagaan. Ia juga memerlukan beberapa percubaan untuk menguasainya tetapi hasilnya pasti berbaloi.

Selamat mengundi!

Source: SHOUT H2, 2018

#CFMmalaysia

#GetSmarterWithConsumerinfo

#HakAndaKeutamaanKami

* * *

Share this post if you liked it and follow us on FacebookTwitter, and Instagram to stay up to date with the latest tips on Communications & Multimedia.

~consumerinfo.my :: another website by Communications And Multimedia Consumer Forum Of Malaysia (CFM)~