Perkara terbaik dalam hidup adalah benda yang diberikan percuma. Malangnya ia bukan untuk aplikasi peranti pintar. Anda mungkin menemui pelbagai aplikasi menarik yang boleh dimuat turun secara percuma. Walau bagaimanapun, sewaktu anda menggunakan aplikasi tersebut anda dapati bahawa sebahagian besar fungsinya dihadkan dan memerlukan anda membuat sedikit bayaran. Tidakkah ia pelik untuk meminta kita untuk membuat bayaran bagi sesuatu yang sepatutnya percuma? Tidak juga. Ia adalah salah satu model bisnes paling popular bagi pembangun aplikasi – perisian Freemium.

Aplikasi Freemium membenarkan pengguna yang mencuba sebahagian perisian secara percuma. Apabila anda berhadapan dengan halangan untuk meneruskan penggunaan aplikasi tersebut, barulah anda perlu membuat bayaran yang selalunya disebut sebagai transaksi mikro atau pembelian dalam aplikasi untuk dapat menggunakan ciri-ciri yang lebih canggih dalam aplikasi tersebut. Beberapa halangan (paywall) mempunyai sedikit kesulitan seperti memerlukan anda menunggu sehingga tamat kiraan masa ditetapkan yang mana halangan in boleh dilangkau sekiranya anda membuat bayaran tunai. Aplikasi lain pula mungkin menghadkan beberapa fungsinya sehingga anda membayar yuran langganan tetap atau membuat bayaran dalam jumlah yang kecil. Contoh terbaik bagi aplikasi Freemium yang mengenakan transaksi mikro ialah permainan seperti Candy Crush, Clash of Clans dan Pokemon Go.

KESULITAN APLIKASI FREEMIUM

Pembangun perisian sering menggunakan model bisnes ini kerana ia bukan saja menyebabkan perisian cetak rompak tidak berguna, malah ia turut menjadikan produk mereka lebih menarik bagi pengguna yang mementingkan tentang harga kerana produk mereka boleh didapati secara percuma dan pengguna cuma perlu membayar jumlah kecil untuk mendapatkan fungsi-fungsi yang mereka mahu. Malangnya, tahap halangan yang pembangun letakkan dalam perisian mereka berbeza-beza; anda boleh dapatkan perisian yang agak baik dengan beberapa ciri tambahan yang perlu dibayar sehinggalah perisian yang dipenuhi halangan di dalamnya. Kadangkala, pengguna boleh ditekan sehingga ke tahap bayarannya lebih mahal berbanding membeli aplikasi yang lengkap.
Walaupun pengguna boleh membelanjakan wang mengikut kesesuaian mereka, pengguna biasanya tidak tahu tentang ciri sebenar transaksi mikro. Beberapa aplikasi membuat butiran perjanjian yang cukup sukar difahami sehingga ia kelihatan seperti memerlukan hanya sekali transaksi tetapi sebaliknya ia adalah yuran langganan berkala. Terdapat kes lain apabila penguna tidak sedar kad kredit mereka telah dicaj sepenuhnya akibat pembelian dalam aplikasi. Perkara ini sering menjadi punca pertikaian bil antara pembekal kad kredit, syarikat telekomunikasi serta pelbagai urusan undang-undang.
Walaupun hal ini boleh diselesaikan dengan cara membatalkan pautan kad kredit dengan akaun Google Play atau iOS anda, namun penyelesaian terbaik adalah dengan menukar tetapan supaya anda boleh memantau dan menghadkan transaksi tanpa kebenaran. Aplikasi Fremium dilihat sebagai model bisnes yang sangat berjaya bagi kebanyakan pembangun perisian yang dilihat tidak akan berhenti dihasilkan dalam masa terdekat ini, walaupun hakikatnya aplikasi Fremium bukan sepenuhnya percuma seperti yang disangka. Sebagai sebuah pasaran bebas, pengguna boleh memilih aplikasi yang mereka suka manakala aplikasi yang tidak popular dengan pelbagai transaksi mikro yang tidak jelas akan lenyap dari pasaran. Kepada pengguna, sentiasa berhati-hati sebelum membeli.

      

Sumber: SHOUT Q1, 2017 #CFMmalaysia #GetSmarterWithConsumerinfo #HakAndaKeutamaanKami

 * * * 

Anda suka artikel, tip ini? Kongsikan di FacebookTwitter, dan Instagram anda. ‘Follow’ kami untuk ketahui lebih banyak tip & info terkini mengenai komunikasi & multimedia. 

~consumerinfo.my :: another website by Communications & Multimedia Consumer Forum of Malaysia (CFM)~