Rombakan Kod Kandungan mengambilkira maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk masyarakat umum

Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia (CMCF) mengumumkan pendaftaran Kod Kandungan 2022 yang bertujuan untuk menjana landskap kandungan yang lebih teguh di Malaysia di mana kebebasan bersuara dan kandungan berhemah dapat dipupuk bersama dengan jayanya.

Mula ditubuhkan pada tahun 2004, Kod Kandungan ialah satu set garis panduan yang menggariskan amalan terbaik dan piawaian etika untuk penciptaan dan penyusunan kandungan, yang disediakan oleh CMCF, yang terletak di bawah naungan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Tahun lepas, CMCF memulakan misi untuk merombak keseluruhan Kod Kandungan untuk memastikan ia kekal sejajar dengan amalan terbaik di persada antarabangsa dan memanfaatkannya bagi industri kandungan tempatan serta semua rakyat Malaysia. Inisiatif ini termasuk rundingan awam yang telah dilaksanakan secara besar-besaran di seluruh negara dari September hingga Disember 2021, di mana semua orang telah diberi peluang untuk menyumbang kepada versi Kod Kandungan yang diubah suai ini.

“Kami sangat gembira kerana Kod Kandungan ini terhasil daripada sumbangan semua orang, bukan hanya ahli kami atau pihak industri. Zaman sekarang, semua orang di luar sana bukan sahaja menikmati kandungan tetapi mereka juga merupakan pencipta kandungan. Jadi, sudah tentu penglibatan orang ramai amat wajar bagi rombakan Kod Kandungan ini. Ia membantu kami untuk menangani pelbagai isu yang mungkin tidak terlintas pada kami, kalau tidak kerana maklumbalas yang diterima oleh orang ramai. Di CMCF, kami percaya bahawa penggubalan dasar dalam industri kandungan mendapat manfaat yang besar daripada rundingan dan sumbangan daripada semua ahli masyarakat” kata Mediha Mahmood, Pengarah Eksekutif Forum Kandungan.

“Maklum balas daripada orang ramai membantu CMCF untuk mengenal pasti beberapa isu baru yang perlu diketengahkan. Ini termasuk keperluan untuk meningkatkan kebolehcapaian kandungan untuk Orang Kurang Upaya (OKU), untuk mengekang penyalahgunaan agama dalam pengiklanan dan memastikan bahawa pempengaruh mematuhi piawaian yang sama seperti pengiklan yang lain,” kata Mediha.

Kod Kandungan 2022 yang telah dirombak ini telah menerima pujian daripada pengamal industri, wakil media dan industri pengiklanan secara keseluruhan. Ia meliputi semakan piawaian dan amalan terbaik yang berkaitan dengan kandungan elektronik, khususnya berkaitan pengiklanan, serta implikasi yang lebih luas untuk pelbagai lapisan masyarakat. Lapan isu utama dalam penambahbaikan kepada Kod Kandungan termasuk:

  1. Hak Kanak-kanak dalam Pengiklanan
  2. Hak Orang Kurang Upaya (OKU)
  3. Pelaporan Beretika Bagi Kes Bunuh Diri
  4. Menangani Penyalahgunaan Agama dalam Iklan
  5. Larangan terhadap Penyalahgunaan Dalam Talian dan Keganasan Berasaskan Jantina
  6. Menangani Kandungan Palsu dan Kesannya kepada Masyarakat
  7. Memastikan Pempengaruh dan E-Dagang Merujuk kepada Garis Panduan Pengiklanan
  8. Memastikan Iklan Dikenalpasti oleh Pempengaruh dan Ruang Berbayar Dalam Berita

Kenny Ong, Pengerusi CMCF berkata bahawa Kod Kandungan baharu yang dikemas kini ini adalah sangat tepat pada masanya kerana semua pencipta kandungan akan mendapat manfaat yang besar daripada mengawalselia kendiri kandungan mereka dengan menggunakan Kod Kandungan 2022 sebagai garis panduan.

“Kod Kandungan 2022 adalah satu rujukan yang lebih komprehensif untuk semua orang dalam ekosistem kandungan untuk mengamalkan kawalselia kendiri. Lapan isu dan tumpuan utama dalam Kod Kandungan 2022 ini mencerminkan peredaran masa dan pembangunan teknologi, sambil menekankan kepentingan untuk menegakkan hak, keselamatan dan kebajikan pelbagai segmen masyarakat termasuk wanita, kanak-kanak, pengguna dan orang kurang upaya,” kata Kenny.

“Industri kandungan di Malaysia terus berkembang pesat, daripada maklumat dan kandungan yang dahulunya satu hala, kini menjadi satu ekosistem kandungan yang besar. Pihak kami  berterima kasih kepada semua orang kerana mengambil bahagian dalam rombakan Kod Kandungan. Ini telah membuktikan bahawa dengan penglibatan orang ramai, kami sememangnya boleh menghasilkan Kod Kandungan yang mengimbangi kreativiti, inovasi dan pertumbuhan industri yang sihat sambil menyelaraskannya dengan budaya, keharmonian dan nilai Malaysia.”

Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia memuji usaha dan inisiatif yang diambil oleh Forum Kandungan dalam melaksanakan peranannya sebagai organisasi kawal selia kendiri dan forum industri yang ditetapkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA98).

“Kami mengiktiraf komitmen Forum Kandungan untuk melibatkan diri dalam dialog berterusan dengan semua pihak berkepentingan dalam mencapai objektif mereka – ini telah terbukti dalam pembentukan Kod Kandungan yang telah dirombak ini. Kami percaya bahawa inisiatif ini memastikan Kod Kandungan kekal bukan sahaja sebagai rujukan yang relevan, tetapi ianya juga progresif. Ini selaras dengan visi SKMM untuk mewujudkan industri yang berdaya saing, cekap dan lebih cenderung untuk mengamalkan kawalselia kendiri agar sentiasa berada di hadapan perubahan zaman. Kami berharap terdapat kesedaran yang lebih tinggi tentang kawalselia kendiri melalui Kod Kandungan kerana ia juga digunakan sebagai rujukan untuk tafsiran kesalahan di bawah Seksyen 211 dan Seksyen 233 AKM98,” kata SKMM.

AKM98 merujuk kepada kandungan yang “sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik sifatnya”, dan Kod Kandungan memberikan pemahaman yang lebih baik tentang maksud unsur-unsur ini. Contohnya, di bawah Kod Kandungan 2022, perkongsian berita yang tidak bertanggungjawab dan tidak beretika berkaitan kes bunuh diri akan dianggap sebagai ‘mengancam’ kerana ia menimbulkan risiko penularan bunuh diri.

Sifat progresif Kod Kandungan baru juga dapat dilihat dalam beberapa peruntukan baru. Contohnya, penggunaan pempengaruh maya. Oleh kerana semua iklan harus dipersembahkan dalam cara yang jelas untuk menunjukkan bahawa ianya adalah iklan, satu peruntukan baru diperkenalkan untuk memastikan bahawa pempengaruh maya dalam iklan didedahkan kepada pengguna agar mereka tidak terpedaya untuk mempercayai bahawa mereka berinteraksi dengan manusia sebenar.

Kod Kandungan 2022 telah didaftarkan secara rasmi dan berkuat kuasa pada 9 Jun 2022 dan boleh didapati di https://www.mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/registers/Content-Code-2022.pdf

Walaupun industri kandungan harus terus berkembang, kawalselia kendiri, ketelusan dan akauntabiliti dalam penciptaan kandungan oleh semua pihak adalah amat penting untuk memastikan landskap kandungan di Malaysia benar-benar dinamik, progresif dan selamat untuk semua.

Untuk maklumat lanjut tentang Forum Kandungan dan Kod Kandungan, sila lawati https://contentforum.my/

* * *

Share this post if you liked it and follow us on Facebook, Twitter, and Instagram to stay up to date with the latest tips on Communications & Multimedia.

~consumerinfo.my :: another website by Communications & Multimedia Consumer Forum of Malaysia (CFM)~