Berdasarkan rekod, isu kehilangan bungkusan dan surat merupakan antara tiga aduan tertinggi yang diterima setiap bulan. Oleh itu, apabila melibatkan kehilangan bungkusan, ramai pengguna berpendapat bahawa bungkusan itu telah dicuri oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Namun, tidak semua bungkusan yang hilang berpunca dari kecurian. Kehilangan bungkusan boleh terjadi semasa pemunggahan bungkusan di gudang kurier atau semasa transit. Malah, cara pembungkusan juga turut menjadi faktor utama yang menyumbang kepada kehilangan atau kerosakan barang. Implikasi dari isu ini dapat dicegah dengan mematuhi segala Terma dan Syarat semasa pembungkusan di mana pengguna akan diberikan pampasan sekiranya pengguna memilih untuk menambah perlindungan tambahan yang ditawarkan oleh pihak perkhidmatan kurier. Akan tetapi, ungkapan “mencegah lebih baik daripada merawat” juga perlu diterapkan dalam penggunaan perkhidmatan pos dan kurier untuk mengelak perkara yang tidak diingini daripada terjadi.
Harapan pengguna adalah bungkusan yang telah diserahkan kepada pihak perkhidmatan kurier selamat sampai ke destinasi. Namun, pengguna juga tidak terkecuali dalam melaksanakan tanggungjawab mengurangkan risiko kehilangan bungkusan. Oleh itu, pengguna boleh mengambil beberapa inisiatif untuk mencegah daripada kehilangan bungkusan dengan mengenalpasti perkara berikut:
1. Mengemukan maklumat penghantaran dan alamat yang lengkap
Hal ini kerana, alamat pada nota konsainan yang tidak lengkap atau tidak ditulis dengan betul menyebabkan pihak perkhidmatan kurier tidak dapat mengenal pasti alamat tersebut. Apabila perkara ini berlaku, besar kemungkinan terdapat bungkusan yang dihantar kepada alamat yang salah atau sekiranya alamat yang tertera tidak dapat dikenal pasti maka bungkusan tersebut akan dihantar semula kepada pengirim.
Untuk itu, pengguna disarankan untuk menggunakan pen yang berdakwat gelap dan pekat untuk menulis alamat lengkap pada nota konsainan dengan ejaan yang betul dan tulisan tangan yang boleh difahami bagi maklumat pengirim dan penerima. Pada masa yang sama, pengguna juga boleh menambah maklumat “Sekiranya Dijumpai” di atas bungkusan dengan besar dan jelas bagi menjadi rujukan kepada pihak penghantar kurier sekiranya nota konsainan basah, pudar dan koyak disebabkan cuaca.
2. Memilih cara pembungkusan yang sesuai
Pembungkusan yang menonjol atau menarik perhatian, sama ada menunjukkan apa yang terdapat di dalam bungkusan atau tidak, besar kemungkinan boleh mendorong kepada kecurian. Kejadian itu bukan sahaja boleh disebabkan oleh ejen penghantaran, tetapi juga dari mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab yang melihat bungkusan yang telah ditinggalkan dan masih belum diambil. Berdasarkan statistik, lebih daripada 50% pengguna melaporkan kehilangan bungkusan, sama ada semasa transit atau selepas penghantaran.
Pengguna disarankan memilih cara pembungkusan yang sesuai dengan tidak menumpukan perincian kepada jenama atau barang itu sendiri bagi mengelak daripada potensi kecurian terutamanya ketika menggunakan perkhidmatan pos dan kurier semasa musim perayaan.
3. Memilih khidmat Ambil dan Hantar (PUDO)
Salah satu cara paling selamat dan mudah untuk mengelak kehilangan bungkusan ialah dengan memilih khidmat Ambil dan Hantar (PUDO). Hal ini kerana PUDO dapat memberikan akses kepada pengguna untuk menghantar dan mengambil bungkusan pada masa dan tempat yang diingini tanpa perlu ke pusat perkhidmatan kurier. Pengguna boleh memilih untuk menggunakan khidmat ini melalui agen kurier atau tempat yang telah ditetapkan, sebagai contoh, kedai serbaneka. Ketika menghantar bungkusan menggunakan PUDO, pihak perkhidmatan kurier akan menghantar notifikasi elektronik terus kepada pengguna di mana keselamatan bungkusan dapat dijamin semasa penghantaran ke lokasi yang ditetapkan sehinggalah penerima bungkusan mengambilnya. Sistem notifikasi elektronik ini adalah untuk memastikan bungkusan dapat dijejak.
Cara ini juga dapat memberi manfaat kepada pengguna dengan mendapatkan jadual penghantaran yang fleksibel, menghasilkan dan memperbanyakan rangkaian penghantaran kepada kedai-kedai yang sedia ada untuk dijadikan tempat penghantaran dan pengambilan barang kurier. Pemilihan khidmat PUDO dapat memudahkan pengguna mendapatkan akses penghantaran dan penerimaan bungkusan serta mengurangkan jangka masa penghantaran sekaligus meningkatkan kepuasan dan kesetiaan pengguna terhadap pihak perkhidmatan kurier.
Cara Mencegah Kerosakan Bungkusan
Semasa penghantaran, pihak perkhidmatan kurier bertanggungjawab memastikan bungkusan pengguna dihantar dalam keadaan yang selamat dan tepat pada masanya.
Walau bagaimanapun, sebelum bungkusan diserahkan kepada pihak perkhidmatan kurier, pengguna terlebih dahulu perlu memastikan bungkusan yang akan dihantar adalah selamat dan menepati kriteria pembungkusan yang betul untuk tujuan penghantaran. Sebagai pengguna, tidak ada yang lebih mengecewakan daripada menerima bungkusan yang rosak atau tidak seperti yang diharapkan. Oleh itu, cara pembungkusan adalah penting bagi memastikan keselamatan barang di dalamnya terutamanya barang yang mempunyai nilai tinggi dan mudah pecah. Malah, dalam tuntutan pampasan bagi kes kerosakan bungkusan, pembungkusan adalah salah satu perkara utama yang akan diteliti oleh pihak perkhidmatan kurier untuk menentukan punca kerosakan. Namun begitu, kerosakan yang tidak disengajakan semasa penghantaran juga kadang-kala tidak dapat dielakkan disebabkan oleh faktor lain seperti keadaan jalan raya dan kelajuan kenderaan penghantaran.
Berikut adalah antara lima panduan pembungkusan bagi memastikan bungkusan pengguna dilindungi:
- Menggunakan bubble wrap bagi melindungi barang
- Menampal pelekat “mudah pecah” pada kotak atau bungkusan barang berkaca atau mudah pecah
- Memilih cara dan bahan pembungkusan yang sesuai
- Menggunakan pita pelekat yang kuat dan sesuai untuk membalut kotak dan bungkusan
- Melabelkan bahagian bungkusan yang perlu dikendalikan dengan betul
Bertindak Sekarang: Bagi menjayakan program hijau dan mengurangkan penggunaan plastik, pengguna digalakkan untuk menggunakan bungkusan dan pita pelekat plastik terbiodegradasi yang mudah untuk dilupuskan dan mesra alam.