“Adakah anda rasa selamat dengan penghantaran bungkusan anda?”

“Bolehkah anda menuntut pampasan jika anda menerima bungkusan itu lewat?”
“Bagaimana jika bungkusan penghantaran anda hilang atau rosak?”
“Sekiranya anda ingin menghantar barang berharga, bagaimana anda mahu memastikan keselamatan barangan tersebut?”

Kita sering kecewa dengan situasi yang tidak dijangka dan sering menyalahkan pihak lain sedangkan sebenarnya, kita boleh mengelakkan perkara tersebut atau sekurang-kurangnya, mengurangkan akibat hasil daripada kejadian tersebut. Sebelum anda menghantar bungkusan anda, anda seharusnya terlebih dahulu mengambil maklum Terma dan Syarat yang disediakan oleh pembekal perkhidmatan kurier. Pengguna memainkan peranan dalam mengambil langkah pencegahan terhadap bungkusan penghantaran anda.

Sebagai pengguna yang bijak, anda harus tahu kepentingan mengetahui Terma dan Syarat. Anda tidak akan tahu sehingga anda mengalami situasi di mana bungkusan berharga anda yang telah lama ditunggu tiba-tiba dilaporkan hilang, atau apabila anda akhirnya menerimanya, ianya rosak.

Oleh itu, anda harus mengetahui perkara yang terkandung di dalam Terma dan Syarat setiap pembekal perkhidmatan kurier.

1.  Hilang

Bungkusan yang hilang akan diberi pampasan sekiranya insiden berlaku semasa tempoh pengendalian penghantaran dan bukan selepas ia disahkan diterima. Walau bagaimanapun, ianya tertakluk kepada had liabiliti yang biasanya sudah ditetapkan di dalam terma dan syarat. Baca dan fahami Terma dan Syarat pembekal perkhidmatan kurier sebelum menandatangani nota konsainan. Setelah pembekal perkhidmatan kurier memberikan bukti penghantaran kepada pengguna, tugas mereka akan dianggap selesai. Sentiasa sahkan dengan pembekal perkhidmatan kurier di mana bungkusan itu berada, sama ada di premis anda atau sekiranya kenalan anda yang menerimanya bagi pihak anda. Berapakah pampasan bagi bungkusan yang hilang? Adakah ia sama dengan nilai barangan yang hilang? Satu jawapan yang pasti, ia tidak akan sama. Jika bungkusan anda bernilai ribuan ringgit, jangan terkejut jika pembekal perkhidmatan kurier mungkin hanya memberi pampasan kepada anda dengan hanya ratusan ringgit. Sekiranya anda ingin mendapatkan jumlah pampasan yang munasabah setimpal dengan nilai barangan, pastikan anda deklarasi nilai barangan dan pilih perlindungan tambahan, juga dikenali sebagai insurans.

2.  Had Liabiliti

Menurut Oxford, liabiliti bermaksud tanggungjawab yang sah untuk sesuatu. Pembekal perkhidmatan kurier mempunyai had liabiliti pada kadar yang telah dinyatakan di dalam Terma dan Syarat. Antaranya termasuklah nilai perlindungan untuk bungkusan yang hilang atau kerosakan bungkusan, tempoh tuntutan dan prosedur yang terlibat untuk sebarang isu. Pembekal perkhidmatan kurier tidak akan bertanggungjawab untuk sebarang perkara yang tidak ditetapkan, atau tidak diketahui oleh pengetahuan mereka. Anda sebagai pengguna sebaliknya, secara automatik akan termaktub kepada Terma dan Syarat walaupun anda tidak menyedarinya kerana anda telah bersetuju untuk meneruskan perkhidmatan dengan menandatangani nota konsainan.

3.  Perlindungan tambahan (insurans)

Katakan anda membeli barang kemas bernilai ribuan ringgit tetapi hanya membayar beberapa ringgit untuk penghantaran. Malah, hanya deklarasi nilai barangan yang kurang berharga kerana menganggap pembekal perkhidmatan kurier tidak akan tahu semata-mata untuk menjimatkan wang. Sila jangan bertindak sedemikian. Sentiasa deklarasi dengan pembekal perkhidmatan kurier anda supaya mereka boleh menawarkan anda perlindungan tambahan untuk barangan tersebut. Perlindungan bukan sahaja untuk kehidupan dan kesihatan, barang berharga anda juga perlu diinsuranskan. Sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini, anda boleh menuntut pampasan dengan mudah tanpa kekecewaan.

4.  Penghantaran lewat

Pembekal perkhidmatan kurier tidak akan membayar pampasan untuk penghantaran yang lewat. Setiap peraturan mempunyai pengecualian, dan ini adalah salah satu daripadanya iaitu penghantaran lewat masih dihantar. Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada kelewatan penghantaran dan menyalahkan pembekal perkhidmatan kurier sewenang-wenangnya tidak akan dapat menyelesaikan isu ini. Bagi mengelakkan perkara ini daripada berlaku, sebagai pengguna, anda boleh menyemak terlebih dahulu tempoh standard perkhidmatan penghantaran mengikut kawasan perkhidmatan.
Selain itu, anda juga boleh mengambil maklum jenis perkhidmatan penghantaran yang disediakan oleh pembekal perkhidmatan kurier. Jika anda memerlukan penghantaran bungkusan dengan segera, pilih pembekal perkhidmatan kurier yang menawarkan perkhidmatan ekspres. Lebih mahal, tetapi lebih cepat.

5.  Perkhidmatan dijamin dan tidak terjamin

Pernahkah anda melihat iklan daripada pembekal perkhidmatan kurier seperti Penghantaran Hari Yang Sama; Penghantaran Hari Seterusnya atau Penghantaran 24 Jam? Ini adalah contoh jenis perkhidmatan yang disediakan oleh pembekal perkhidmatan kurier yang juga dikenali sebagai jaminan perkhidmatan.
Perkhidmatan terjamin ialah sejenis janji atau jaminan daripada pembekal perkhidmatan kurier dalam penawaran perkhidmatan mereka dengan nilai tambahan di mana pengguna perlu membayar harga yang berbeza daripada perkhidmatan tidak terjamin atau perkhidmatan standard dengan kadar standard. Bagi setiap perkhidmatan yang dijamin, pampasan akan ditawarkan sekiranya pembekal perkhidmatan kurier gagal memenuhi jangkaan. Oleh itu, sila semak dengan pembekal perkhidmatan kurier pilihan anda.

6.  Barang larangan atau barang berbahaya

Kami pasti setiap pembekal perkhidmatan kurier telah menyediakan senarai barang larangan dan barang berbahaya untuk penghantaran. Hal ini adalah untuk memastikan keselamatan pekerja kurier dan orang ramai. Oleh itu, tidak kira berapa banyak anda mempertikaikan atau ingin mewajarkan penghantaran barangan tersebut, ia tidak akan diterima, atau diberi pampasan. Anda tidak akan mahu membayangkan apa yang akan berlaku sekiranya ada kejadian tidak diingini berlaku terhadap barang larangan atau barang berbahaya.

7.  Kerosakan

Sesetengah pembekal perkhidmatan kurier menyediakan pampasan untuk kerosakan bungkusan. Walau bagaimanapun, pampasan tersebut akan bergantung dengan beberapa syarat dan peraturan. Sebagai contoh, pembekal perkhidmatan kurier perlu menyiasat sama ada bungkusan itu dirosakkan oleh pihak mereka, atau jika ia telah rosak sebelum bungkusan itu dihantar, atau sama ada pengguna mematuhi keperluan pembungkusan barangan tersebut. Selain itu, ketidakpatuhan terhadap keperluan pembungkusan juga boleh menyebabkan pampasan insurans ditolak.. Setiap pembekal perkhidmatan kurier mempunyai had untuk memberi pampasan, dan adalah menjadi tanggungjawab pengguna untuk sekurang-kurangnya mengetahui atau bertanya sebelum anda menghantar untuk penghantaran.
Sebagai pengguna, anda sepatutnya tahu sekarang bahawa setiap perkhidmatan penghantaran kurier yang ditawarkan oleh pembekal perkhidmatan kurier mempunyai beberapa garis panduan am yang tidak ramai di antara kita menyedarinya. Sebelum kami berhujah atas beberapa sebab yang tidak munsabah dan akhirnya kecewa, semak fakta dan sila bertanggungjawab terhadap bungkusan anda kerana jaminan keselamatan bungkusan adalah atas pilihan anda.

Mengenai Forum Pos:

Forum Pos ialah badan kawal selia kendiri yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di bawah Seksyen 49 dan 50 Akta Perkhidmatan Pos 2012 untuk memberi maklum balas dan membuat syor kepada SKMM mengenai sebarang perkara berkaitan kepentingan pengguna po dan industri perkhidmatan kurier. Antara fungsi kami adalah untuk mengenal pasti dan sentiasa menyemak perkara yang mempengaruhi pengguna, mewakili kepentingan pengguna termasuk pengendalian aduan, dan mengutamakan kehendak pengguna berhubung dengan tarif dan piawaian industri pos dan kurier.

* * *

Share this post if you liked it and follow us on Facebook, Twitter, and Instagram to stay up to date with the latest tips on Communications & Multimedia.

~consumerinfo.my :: another website by Communications & Multimedia Consumer Forum of Malaysia (CFM)~