~ Seiring dengan perkembangan dunia internet dan teknologi,
semakin ramai yang menggunakan kandungan dalam talian ~
Cetak rompak digital? Apakah masalahnya? Jika pengguna boleh menikmati kandungan tanpa had dan pelbagai saluran pada harga yang sangat tidak masuk akal, adakah ini akan menguntungkan kedua-dua pihak? Tambahan pula, ‘set-top boxes’ atau ‘cable boxes’ kini lebih mudah mudah untuk dicari dan dibeli.
APAKAH RISIKO MENGGUNAKAN KANDUNGAN CETAK ROMPAK DIGITAL?
Realitinya ia adalah satu jenayah. Mencipta, menggunakan dan menjual perkhidmatan tanpa berlesen ini adalah satu kesalahan yang menyalahi undang-undang. Walaupun mengakses kandungan digital yang menyalahi undang-undang mungkin agak mudah, murah, atau percuma, sebenarnya kos cetak rompak digital adalah lebih daripada itu. Bukan sahaja ia membawa kesan buruk kepada media dan syarikat-syarikat yang menghasilkan kandungan digital, malah ia juga boleh membawa kerugian kepada para pengguna dalam jangka masa panjang. Kesimpulannya, aktiviti cetak rompak digital ini amat tidak adil kepada semua.
Risiko mengggunakan kandungan cetak rompak digital :
Kualiti – Kebiasaannya, ia mempunyai kekurangan dari segi persembahan yang memuaskan dan juga kualiti resolusi yang agak rendah. Selain itu, ia juga tidak mempunyai jaminan waranti, perlindungan atau pilihan untuk menaik taraf kualiti fail.
Virus – Tanpa ujikaji, cakera palsu tersebut berkemungkinan telah dijangkiti virus yang akan menyebabkan kerosakan pada cakera keras atau melumpuhkan jaringan rangkaian anda, tanpa khidmat sokongan teknikal.
Tempat Kerja – Membuat salinan atau menggunakan kandungan atau perisian digital tidak berlesen di tempat kerja boleh membawa risiko kepada syarikat dari segi pelanggaran hak cipta. Perisian cetak rompak tersebut belum dapat dipastikan lagi sama ada ianya mampu berfungsi dengan baik. Jika ianya mempunyai virus, ia boleh mengancam keselamatan data syarikat serta bakal menaikkan kos kewangan IT untuk membaik sistem semula.
Masalah Membuat Aduan – Anda sebagai pengguna bakal berhadapan dengan risiko kehilangan wang apabila perkhidmatan yang menyalahi undang-undang ini diambil tindakan oleh pihak berkuasa. Dan sekiranya anda berhadapan dengan isu atau masalah ketika melanggan perkhidmatan tersebut, anda tidak boleh membuat aduan kepada CFM atau penyedia perkhidmatan terbabit kerana perkhidmatan ini tidak didaftarkan secara sah.
Pengaruh Buruk – Antara bahaya atau kesan lain yang bakal berlaku melalui aktiviti cetak rompak digital ini adalah dari segi penapisan kandungan digital. Memandangkan penyedia perkhidmatan tidak berlesen ini menyediakan kandungan digital tanpa penapisan, ia boleh membuatkan golongan kanak-kanak terutamanya terdedah kepada kandungan yang tidak sesuai dengan usia mereka. Selain itu, dengan harga yang ditawarkan agak murah, ia tidak mempunyai peranti kawalan dari ibu bapa atau sekatan dari melihat adegan atau aksi yang tidak diingini. Kesannya, ia boleh membawa pengaruh buruk sehingga merosakkan minda generasi muda .
BAGAIMANA UNTUK MENGENALPASTI MUZIK, VIDEO DAN FILEM CETAK ROMPAK ?
APABILA ANDA MELAYARI LAMAN SESAWANG YANG AGAK MENCURIGAKAN, ANDA PERLU BERTANYAKAN SOALAN-SOALAN INI TERLEBIH DAHULU :
- Adakah kandungan digital tersebut telah dijual di tempat lain, tetapi ditawarkan untuk muat turun secara percuma di laman sesawang ini? Jika ya, ia mungkin cetak rompak.
- Adakah penjual tersebut memiliki syarikat dengan reputasi, ulasan yang positif, dan juga skala penilaian(rating) yang baik? Jika ya, kandungan digitalnya mungkin bukan cetak rompak.
- Jika anda membeli DVD atau CD, adakah pembungkusan tersebut kelihatan sah dan telah ditutup sepenuhnya,‘hologram’, dan sebagainya? Jika tidak, mungkin ia adalah cetak rompak.
- Adakah laman sesawang tersebut menawarkan filem terbaru yang masih lagi berada di pawagam ataupun DVD yang baru sahaja dilancarkan? Jika ya, berkemungkinan besar ia adalah cetak rompak.
Jika anda dalam keraguan, anda boleh mencari kanduangan digital dari sumber yang lain yang sah. Mencuri kandungan digital dalam talian adalah mudah, namun ianya tetap salah dari sisi undang-undang.
BAGAIMANA UNTUK MENGETAHUI ANDA SEDANG MELAYARI LAMAN SESAWANG CETAK ROMPAK? Terdapat pelbagai jenis laman sesawang yang menyediakan akses yang menyalahi undang-undang ke kandungan digital yang mempunyai hak cipta contohnya filem, muzik, rancangan TV, permainan dalam talian dan juga perisian. Laman sesawang penstriman Laman sesawang ini membolehkan anda :
- untuk melihat kandungan digital yang mempunyai hak cipta tanpa perlu muat turun secara sah
- laman sesawang tersebut mungkin distrim terus atau disediakan pautan-pautan ke kandungan digital yang dikendalikan oleh laman sesawang lain. Cara ini adalah tidak sah dan menyalahi undang-undang.
- Laman sesawang ini selalunya agak mesra pengguna, dengan kandungan digitalnya dikategorikan mengikut ‘genre’, tahun, atau bahasa.
Cyberlockers
‘Cyberlockers’ adalah tempat penyimpanan fail dan menyediakan perkhidmatan perkongsian fail untuk pelbagai jenis media, contohnya gambar, video dan fail muzik. Mereka juga menawarkan pelbagai koleksi kandungan digital yang boleh dimuat turun atau distrim dengan pantas dan mudah. Laman sesawang ini menjana pendapatan mereka melalui langganan dari pengguna. ‘Cyberlockers’ agak sukar untuk dimonitor, kerana mereka menggunakan sambungan yang tersendiri ‘one-to-one’ dan tidak dapat dikesan oleh pengawasan sekuriti dalam talian. Oleh sebab itu, ‘cyberlockers’ menjadi pilihan buat mereka yang menjalankan aktiviti cetak rompak filem dan muzik ini.
P2P
P2P atau ‘peer-to-peer’ adalah laman sesawang yang membenarkan perkongsian fail digital di kalangan pengguna ‘peer’. Apabila anda menggunakan rangkaian ‘peer-to-peer’, fail yang disimpan dalam komputer anda boleh dikongsi dengan pengguna komputer lain. Anda juga boleh memindahkan salinan fail ini dari satu komputer ke komputer lain.
Walaupun perkongsian fail atau data melalui cara ini adalah sah, namun ia biasanya melibatkan perkongsian maklumat yang mempunyai hak cipta dengan cara menyalahi undang-undang. Walaupun ramai yang percaya fail mereka hanya khas di kalangan kawan sahaja, sebenarnya fail ini boleh diakses oleh berjuta-juta orang di seluruh dunia yang merupakan sebahagian daripada rangkaian P2P yang sama. Tetapan asal ‘default setting’ pada kebanyakan rangkaian P2P memastikan bahawa individu yang memuat turun fail-fail, dan pada masa yang sama turut memuat naik fail. Ini bermakna jika anda memuat turun filem, secara tidak langsung anda telah mengedarkan kandungan digital tidak sah kepada pengguna lain. Tanpa sedar, ia turut mendedahkan anda kepada aktiviti kecurian identiti. Sebagai info, perkongsian fail melalui P2P tidak menawarkan keselamatan data peribadi.
Pautan-pautan pada laman sesawang
Laman sesawang jenis ini mengumpulkan ribuan pautan-pautan ke kandungan digital cetak rompak yang biasanya disimpan pada ‘cyberlockers’ luar. Laman sesawang ini semakin merebak dengan meluas dengan akses tanpa kawalan ke kandungan digital yang mempunyai hak cipta.
Laman sesawang ‘Torrent’ Kumpulan yang mengeluarkan filem yang memuat naik dan berkongsi kandungan digital pada ‘torrent’ peribadi bergantung kepada hasil sumbangan dari semua ahli. Kandungan digital tersebut juga boleh diakses oleh laman sesawang ‘torrent’ awam, di mana ianya boleh dimuat turun oleh semua.Untuk membasmi aktiviti cetak rompak digital ini, anda boleh memilih untuk melanggan perkhidmatan kandungan berlesen seperti HyppTV, Tonton, iflix dan pelbagai lagi perkhidmatan lain. Bagi muzik pula, anda boleh mencuba Spotify, Apple Music atau aplikasi penstriman muzik lain. Oleh kerana kita sedang menuju ke era kemajuan dunia digital, penyedia kandungan juga sedang berusaha memberikan perkhidmatan dan tawaran yang terbaik kepada pelanggan-pelanggan mereka dengan tawaran terbaik supaya dapat menikmati perkhidmatan yang memuaskan . Kita sebagai pengguna, harus menyedari tentang bahaya aktiviti cetak rompak digital ini, kerana ianya adalah salah di sisi undang-undang. Selain itu, ia adalah salah satu hak kita sebagai pengguna di dalam industri komunikasi dan multimedia untuk dilindungi daripada perkhidmatan boleh membawa pelbagai isu yang tidak diingini dan kesan buruk kepada kita. Sebagai pengguna yang bijak, buatlah kajian terlebih dahulu dan gunakanlah perkhidmatan yang berlesen. Sekiranya ada sebarang isu, masalah anda dapat diselesaikan menggunakan saluran yang betul. Malah, mungkin anda tidak perlu mengemukakan aduan anda!
#HakAndaKeutamaanKami