KENAPA ANDA PERLUKAN RUMAH PINTAR DAN BAGAIMANA ANDA BOLEH MULAKANNYA?
Jika anda pernah menonton mana-mana filem cereka sains yang diterbitkan, anda mungkin akan melihat babak-babak watak protagonis berjalan masuk ke rumah atau bangunan dan tiba-tiba lampu terbuka secara automatik. Dengan hanya menepuk tangan atau dengan isyarat suara, mereka sudah boleh menghidupkan bunyi muzik atau mengubah suhu bilik tanpa perlu menekan suis dinding atau alat kawalan jauh. Dengan hanya isyarat suara ringkas, pembantu maya juga boleh memberitahu maklumat tentang waktu, cuaca, dan banyak lagi. Kedengaran terlalu mustahil untuk berlaku bukan? Namun bersedialah kerana masa hadapan semakin menghampiri kita dan mungkin ia akan berada di rumah anda lebih cepat daripada yang anda fikirkan. Ucapkan selamat datang kepada teknologi Rumah Pintar.
JADI APAKAH SEBENARNYA RUMAH PINTAR ITU?
Dalam istilah awam, ‘rumah pintar’ ialah bangunan, atau lebih tepat, rumah atau pejabat yang dilengkapi dengan pelbagai teknologi. Ia bergantung kepada sambungan Internet untuk mengautomasikan tugas, memproses pesanan atau arahan dan memberikan maklumat atas permintaan untuk menjadikan urusan hidup lebih mudah. Teknologi ini boleh didirikan daripada pelbagai peranti yang berbeza tetapi semuanya boleh dikendalikan dari jauh atau diautomasikan dengan penyediaan kecerdasan buatan, arahan suara atau melalui peranti pintar seperti telefon bimbit atau tablet anda. Saiz dan skop rumah pintar adalah berbeza, bergantung kepada bajet dan impian pemilik.
Anda boleh hanya meletakkan pembesar suara pintar seperti Alexa Amazon atau Google Home yang boleh menjawab banyak pertanyaan asas atau dalam skala lain, anda boleh menghubungkan tetapan lampu,penghawa dingin, sistem teater rumah, kamera keselamatan rumah termasuk mesin pembuat kopi pintar dan banyak lagi. Cara mengawal peranti-peranti ini ialah melalui arahan suara atau apabila kondisi pratetap telah dipenuhi seperti menyesuaikan suhu penghawa dingin mengikut cuaca, atau membuka langsir dan mengaktifkan mesin pembuat kopi apabila anda bangun pada waktu pagi.
Apabila anda pulang ke rumah, sistem Rumah Pintar boleh ditetap untuk mengesahkan siapa anda dengan menggunakan biometrik sebelum ia membuka pintu, menghidupkan penghawa dingin dan lampu, memainkan muzik dari senarai trek kegemaran anda dan banyak lagi boleh dilakukan sebaik sahaja anda melangkah masuk rumah. Ia sangat hampir untuk mengatakan ini adalah rumah masa hadapan.
JADI MENGAPA SAYA MEMERLUKAN RUMAH PINTAR?
Selain untuk membuatkan jiran anda kagum, rumah pintar menjanjikan faedah dari sudut penjimatan masa dan wang dalam jangka masa panjang, meningkatkan keselamatan, dan menjadikan urusan hidup seharian lebih mudah dan selesa. Anda mungkin perlu menanggung beberapa pelaburan kewangan untuk mendapatkan peranti-peranti pintar ini. Anda juga perlu menaik taraf rangkaian anda sebagai sebahagian daripada proses untuk mencipta tapak asas bagi rumah pintar anda. Walau bagaimanapun, hasilnya kemudian pasti akan memuaskan hati anda dengan penjimatan masa bagi urusan domestik dan juga menjimatkan bil elektrik dari semasa ke semasa melalui pengurusan kuasa yang lebih cekap.
Rumah pintar yang ideal adalah yang dilengkapi dengan pelbagai peranti pintar dan terhubung seperti LED pintar serta peralatan rumah pintar lain seperti penghawa dingin dan termostat. Dalam rumah pintar, peranti-peranti pintar ini mampu untuk menutup sendiri atau mengaktifkan mod penjimatan tenaga optimum apabila tidak digunakan. Sebagai contoh, penghawa dingin pintar berupaya untuk menyesuaikan suhu secara automatik berdasarkan laporan cuaca pada hari tersebut. Jika ia mengenal pasti bahawa cuaca di luar sedang panas, ia akan menukar ke suhu yang lebih sejuk dan begitulah sebaliknya. Sensor pergerakan keselamatan yang dipasang di rumah pintar boleh memenuhi pelbagai tujuan. Antaranya mematikan kuasa di bilik-bilik kosong sambil memantau penceroboh. Dalam jangka panjang, setiap peranti serba sedikit memberi nilai tambah dan menawarkan penjimatan terhadap bil elektrik anda.
Salah satu faedah yang lebih baik bagi rumah pintar ialah keselesaan. Perkakas rumah automasi pintar dan teknologi lain yang berkaitan dapat membantu memberikan masa untuk anda fokus kepada hal-hal yang produktif. Antara potensi lain penggunaan peralatan pintar ini ialah membantu melakukan kerja-kerja rumah anda mengikut jadual pratetap. Contohnya, anda boleh mengarahkan robot pembersih vakum untuk mula membersihkan lantai sebaik sahaja anda melangkah keluar dari rumah. Sebuah peti sejuk pintar boleh membantu membuat pesanan untuk menambah simpanan telur atau susu jika ia mengenal pasti barangan tersebut sudah hampir habis. Ia juga boleh mengesan tarikh luput produk yang disimpan. Penghawa dingin pintar juga boleh menyejukkan rumah sebelum anda tiba ke rumah!
Salah satu manfaat praktikal memiliki rumah pintar ialah ia menjadikan rumah anda tempat yang lebih selamat. Siri kamera dan sensor keselamatan yang disambungkan di sekitar sempadan rumah anda boleh membantu memberi isyarat kepada anda apabila terdapat pengunjung termasuklah apa-apa sahaja yang tidak diingini. Sensor kawalan cahaya pintar dapat membantu menerangi bahagian luar dan dalaman rumah anda apabila ia mengesan pergerakan. Ia bertindak sebagai penghalang kepada penceroboh dan alat bantu bagi menjadikan rumah lebih selamat tanpa perlu anda meraba-raba menghidupkan suis dinding setiap masa.
Apa yang paling penting, semua manfaat ini menawarkan perkara yang paling kita inginkan iaitu – ketenangan hati dan minda bahawa rumah anda dijaga dengan baik.
HEBAT! BAGAIMANA KITA BOLEH BERMULA?
Mujurlah untuk menetapkan sebuah rumah pintar bukanlah sesuatu yang sangat rumit dan tidak ada keperluan untuk anda memecah dinding ataupun memasang pelbagai wayar yang kompleks. Langkah pertama yang boleh anda ambil ialah mendapatkan pembantu digital seperti Alexa Amazon atau Google Assistant. Malangnya, tidak banyak pilihan rasmi di Malaysia untuk memperolehnya. Jadi anda perlu membeli secara dalam talian dan menanti penghantaran dari luar negara.
Walaupun secara teknikal anda dapat menggerakkan rumah pintar dari peranti mudah alih anda, anda masih akan mendapat manfaat yang banyak melalui pembesar suara pintar dengan suara yang diaktifkan. Sebaik sahaja anda telah memasang dan menghubungkan ia dengan sambungan internet yang baik, anda boleh menikmati kesenangan untuk dapat berbincang dan menetapkan jadual harian anda atau mendapatkan jawapan kepada pertanyaan asas hanya dengan suara anda.
Selepas itu, bergantung kepada situasi kewangan anda, anda sudah boleh beransur-ansur menaik taraf dengan memiliki pelbagai peranti dan perkakas rumah pintar seperti peti sejuk pintar, robot pembersih vakum, pengunci pintar dan banyak lagi. Apa yang jelas ialah masa hadapan telah menanti kita. Adakah anda sudah bersedia untuk tinggal di dalam sebuah rumah pintar?
TIPS!
“Bagi menikmati pengalaman yang lebih baik dari segi fungsi & tindak balas dari segi kelajuan ketika menggunakan Rumah Pintar (Smart Home) ini, adalah disarankan agar pengguna menggunakan rangkaian 4G LTE.”
Sumber: SHOUT 2019 EDISI BUMPER #CFMmalaysia #GetSmarterWithConsumerinfo #HakAndaKeutamaanKami #CFMshout #JENDELA