Fenomena “live streaming” kini menguasai dunia, Ketahui bagaimana untuk bermula Dengan adanya kamera telefon pintar yang ditambah baik dan sambungan internet yang lebih pantas, agensi berita dan orang ramai mula beralih kepada penstriman video atas talian untuk menonton dan membuat liputan acara secara langsung serta berhubung lebih rapat dengan penonton dalam masa sebenar. Jika dahulu segala perkakas perlu memenuhi sebuah van, tetapi kini ia mampu dimuatkan di dalam sebuah telefon pintar, dan sesiapa sahaja boleh menjadi wartawan. Permulaan Untuk memulakan penstriman secara langsung adalah mudah. Anda perlukan sekurang-kurangnya telefon pintar, dengan kamera yang baik. Pelan data yang besar adalah perlu kerana penstriman video secara langsung menggunakan banyak data. Anda juga memerlukan aplikasi untuk penstriman secara langsung. Antara aplikasi yang popular ialah Facebook dan Periscope. Apabila anda bersiaran langsung, pengikut atau rakan anda akan mendapat notifikasi dan boleh mengambil bahagian dengan mengulas atau menyukai video anda. Sebelum anda memulakan siaran langsung sesuatu yang penting, pastikan anda berlatih terlebih dahulu supaya anda tidak melakukan kesalahan ketika bersiaran. Apa Tujuan Penstriman Secara Langsung? Dengan bersiaran secara langsung, anda boleh berkongsi peristiwa seperti persembahan atau majlis semasa ia berlangsung supaya mereka yang tidak dapat hadir boleh menyertainya melalui siaran langsung anda. Anda juga boleh menggunakannya sebagai forum video untuk berkongsi idea, pendapat atau membuat ulasan peribadi anda terhadap filem, pandangan popular atau produk baharu. Ia tiada sekatan walaupun terdapat kebimbangan tentang penggunaan, perundangan dan moral tentang apa yang anda siarkan. Apa yang Anda Boleh Siarkan Anda boleh siarkan sebarang topik yang anda inginkan. Walau bagaimanapun, lebih banyak faedah jika anda siarkan subjek dan peristiwa semasa yang menarik. untuk itu, anda perlu pertimbangkan beberapa faktor sebelum anda mula bersiaran. Masalah terbesar yang mungkin anda hadapi ialah mengenai hak cipta. Menyiarkan persembahan penghibur jalanan mungkin tidak mengapa, tetapi menyiarkan persembahan konsert bertiket mungkin dianggap sebagai pelanggaran hak cipta. Anda perlu biasakan diri dengan meneliti undang-undang hak cipta. Menyiarkan situasi berbahaya secara langsung seperti gempa bumi boleh memberi risiko kepada nyawa dan tubuh badan. Malah ia juga menjadi kebimbangan masyarakat dan undang-undang jika siaran anda mengandungi imej seperti kejadian jenayah dan sebagainya yang boleh menyebabkan trauma emosi. Cara mudah mengatasi perkara ini ialah dengan menyiarkan perkara yang anda rasa selesa untuk ditonton oleh ahli keluarga anda sendiri. Akhir sekali, berhati-hati dengan apa yang anda siarkan kerana ia memberi kesan kepada reputasi peribadi anda dan boleh menyebabkan anda dikenakan tindakan undang-undang. Senarai Semak Peranti untuk “Live Streaming” Mahu lakukan siaran langsung? Berikut adalah peranti yang anda perlukan:
- Telefon pintar dengan kamera belakang yang bagus
- Kuota pelan data GB yang tinggi
- Sebuah “power bank” untuk mengecas telefon anda
Jika anda gemar bersiaran secara langsung, inilah senarai peralatan yang membantu anda menghasilkan video yang baik. harganya berbeza-beza tetapi berbaloi melabur untuk membeli peralatan yang berkualiti tinggi dan tahan lama:
- Mikrofon untuk suara yang lebih jelas
- Tripod dengan pemegang telefon untuk genggaman yang lebih stabil
- Lampu LED boleh pegang untuk imej yang lebih baik
Sumber : SHOUT H2 2016 , consumerinfo.my #CFMarticle #CFMmalaysia