KUANTAN, 28 OGOS 2019 – Sempena Hari Kemerdekaan Malaysia ke-62, Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) meraikan Hari Kebangsaan 2019 dengan mengadakan program dalam bentuk santai yang juga memupuk semangat berpasukan melalui aktiviti “Explorace Merdeka CFM” yang dianjurkan bersama RTM Pahang untuk Program Aspirasi Merdeka Pahangfm 2019.

Explorace Merdeka CFM diadakan di Beserah, Kuantan kerana kawasan berkenaan kaya dengan nilai-nilai sejarah. Aktiviti Explorace tersebut disertai seramai 30 orang peserta terdiri daripada para pelajar sekolah dan kolej serta komuniti setempat. Melalui aktiviti tersebut, CFM mengambil peluang untuk menghubungkan pengguna setempat dengan isu-isu dan hak-hak pengguna dalam industri komunikasi & multimedia.

“Program yang dijalankan oleh CFM anjuran bersama RTM Pahang ini bukan sahaja untuk meraikan Hari Kebangsaan 2019, tetapi dalam masa yang sama dapat mendidik dan memberi kesedaran kepada pengguna tentang peranan CFM yang selama ini berperanan dalam pembangunan industri dan melindungi hak-hak pengguna,” kata Pengerusi CFM, Datin Mohana Mohariff.

Selain itu, CFM juga menyertai Susun Suai Gambar Merdeka Terbesar (Merdeka Largest Jigsaw Puzzle) iaitu salah satu aktiviti dalam program Aspirasi Merdeka oleh RTM Pahang yang bakal mencatatkan rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR). Susun suai gambar Merdeka tersebut disertai seramai 105 orang pelajar sekolah rendah berbilang kaum dan telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia (RTM), Tuan Haji Abdul Muis Shefii.

CFM percaya dengan menyertai program komuniti seperti ini, CFM secara tidak langsung dapat mendidik pengguna untuk menghargai kemajuan teknologi pada hari ini sejak negara kita mencapai kemerdekaan. Sebagai pengguna dan rakyat Malaysia adalah menjadi tanggungjawab kita untuk terus menjaga kestabilan dan keharmonian yang telah kita bina selama ini.

#HakAndaKeutamaanKami

#JadilahPenggunaYangBijak

 

_______________________________TAMAT______________________________

Mengenai CFM

Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) ditubuhkan pada bulan Februari 2001 dan telah ditetapkan sebagai salah satu forum industri oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), selaras dengan Peruntukan Seksyen 189 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM). Ia menjadi salah satu platform bagi industri dan pengguna/orang awam bagi menyumbang ke arah penambahbaikan perkhidmatan dan pembangunan polisi yang lebih baik dan konstruktif.

Peranan CFM bersama dengan pihak-pihak lain yang terlibat adalah untuk menggalakkan pembangunan industri komunikasi dan multimedia di Malaysia dan melindungi kepentingan pengguna dengan menggalakkan etika perkhidmatan berkualiti tinggi melalui kawal selia kendiri. CFM juga menjadi pemudah cara kepada pengguna untuk melaporkan aduan tentang perkhidmatan komunikasi dan multimedia.

Jika terdapat aduan mengenai perkhidmatan komunikasi dan multimedia yang tidak diselesaikan, pengguna boleh mengemukakan aduan melalui saluran berikut:

PORTAL ADUAN https://aduan.skmm.gov.my (sistem bersepadu bersama SKMM)
APLIKASI MUDAH ALIH Muat turun aplikasi “MY MOBILE RIGHTS” di Google Play Store dan App Store
PEJABAT CFM Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (MCMC), Off Persiaran Multimedia Jalan Impact, 63000 Cyberjaya, Selangor

Untuk dapatkan lebih banyak maklumat dan tip berguna, sila layari portal CFM:

PORTAL CFM www.cfm.my www.consumerinfo.my