CYBERJAYA, 31 MEI 2018 – Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) menyokong usaha kerajaan bagi mewujudkan sistem jalur lebar dengan kelajuan dua kali lebih pantas pada separuh harga. Bagi Pengerusi CFM, Mohamad Yusrizal Dato’ Yusoff, ini merupakan berita baik untuk pengguna kerana internet bukan lagi kemewahan tetapi keperluan di era moden ini.
Setakat tahun 2017, jumlah pengguna internet ialah sebanyak 24.5 juta dan kebanyakan isi rumah melanggan internet bagi kegunaan harian mereka. Walau bagaimanapun, harga yang ditawarkan agak tinggi dan membebankan. Sebagai contoh, harga internet fiber buat masa ini adalah lebih daripada RM100 sebulan. Namun, disebabkan penggunaan internet adalah amat penting bagi memenuhi kehendak digital pada hari ini, pengguna terpaksa melanggan untuk menggunakannya walaupun kosnya agak membebankan.
“Inisiatif kerajaan untuk mengurangkan jurang digital di antara kawasan bandar dan luar bandar boleh dikira sebagai kejayaan yang membanggakan. Infrastrukturnya telah dibina dan diguna pakai oleh pengguna walapun di luar bandar. Dengan cara menaik taraf dan mengoptimumkan infrastruktur yang sedia ada, pihak penyedia perkhidmatan seharusnya boleh menurunkan harga dan meningkatkan kualiti liputan bagi servis mereka,” kata Mohamad Yusrizal.
Pertumbuhan aktiviti perniagaan atas talian juga dilihat semakin meningkat dengan adanya kemudahan internet yang dapat diakses oleh semua pengguna dan bagi sesetengah pengguna aktiviti ini merupakan sumber pendapatan. Sekiranya harga perkhidmatan internet dikurangkan, kos perniagaan mereka akan berkurangan seterusnya dapat meningkatkan taraf hidup rakyat.
CFM sebagai sebuah forum pengguna bagi industri komunikasi dan multimedia sentiasa menekankan kawalan kendiri dengan menggalakkan pengguna memilih pakej yang bersesuaian dengan bajet mereka. Jika permintaan harga rendah meningkat, ini seterusnya dapat mempengaruhi trend tawaran sesuatu pakej.
Tambah Mohamad Yusrizal, CFM yang diwakili oleh dua pihak iaitu pihak pembekal dan pihak permintaan akan terus memberi tumpuan kepada langkah atau inisiatif yang dapat membantu pengguna.
“Melalui CFM, kami membantu pengguna menyelesaikan aduan yang tidak selesai, berkongsi tip serta mesej kesedaran dan pembangunan amalan terbaik industri bagi sentiasa menjaga hak-hak pengguna.”
CFM mengucapkan tahniah kepada Y.B Gobind Singh di atas pelantikan sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baru. Pihak CFM berharap agar Y.B Menteri dapat membantu merancakkan lagi industri dan menjaga kebajikan pengguna.
Dalam pada itu, CFM juga berharap agar pertemuan Y.B Menteri bersama syarikat telekomunikasi yang dijangka akan dilakukan dalam masa terdekat ini dapat menemui kaedah terbaik yang dapat memberi manfaat kepada penyedia perkhidmatan dan pengguna.
#HakAndaKeutamaanKami
#JadilahPenggunaYangBijak
#AmbilTahu
#JadilahPenggunaCelikTeknologi
_______________________________TAMAT______________________________
Mengenai CFM
Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) ditubuhkan pada bulan Februari 2001 dan telah ditetapkan sebagai salah satu forum industri oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), selaras dengan Peruntukan Seksyen 189 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM). Ia menjadi salah satu platform bagi industri dan pengguna/orang awam bagi menyumbang ke arah penambahbaikan perkhidmatan dan pembangunan polisi yang lebih baik dan konstruktif.
Peranan CFM bersama dengan pihak-pihak lain yang terlibat adalah untuk menggalakkan pembangunan industri komunikasi dan multimedia di Malaysia dan melindungi kepentingan pengguna dengan menggalakkan etika perkhidmatan berkualiti tinggi melalui kawal selia kendiri. CFM juga menjadi saluran kepada pengguna untuk melaporkan aduan tentang perkhidmatan komunikasi dan multimedia.
Jika terdapat aduan mengenai perkhidmatan komunikasi dan multimedia yang tidak diselesaikan, pengguna boleh mengemukakan aduan kepada CFM melalui saluran berikut:
PORTAL CFM | www.cfm.my www.consumerinfo.my |
PORTAL ADUAN CFM | aduan.skmm.gov.my (sistem bersepadu bersama SKMM) |
HOTLINE | 1-800-18-2222 |
E-MEL | [email protected] |
APLIKASI MUDAH ALIH | Muat turun aplikasi “MY MOBILE RIGHTS” di Google Play Store dan App Store |
PEJABAT | CFM Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (MCMC), Off Persiaran Multimedia Jalan Impact, 63000 Cyberjaya, Selangor. |