KUALA LUMPUR, 14 MEI 2015 – Industri telekomunikasi menyokong keputusan Kerajaan untuk melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) hanya atas penggunaan perkhidmatan prabayar.
Syarikat-syarikat telekomunikasi memahami seruan untuk aplikasi yang lebih berorientasikan masa depan dan mengalu-alukan arahan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek dalam pelaksanaan GST ke atas perkhidmatan prabayar menurut prinsip berasaskan penggunaan. Ini bermakna GST akan diaplikasikan keatas setiap transaksi apabila pelanggan menggunakan masa keudara.
Metodologi yang baru ini akan membentuk asas bagi pelaksanaan GST ke atas semua pembayaran elektronik seperti e-wallet dan wallet mudah alih, yang telah menjadi semakin popular dalam ekonomi digital yang semakin berkembang.
Melaksanakan perubahan baru ini adalah usaha besar-besaran yang dijangka mengambil masa lebih dari setengah tahun untuk disiapkan. Keputusan untuk mengubah dasar pelaksanaan GST daripada pengaktifan ke penggunaan tidak begitu mudah. Ia melibatkan konfigurasi yang rumit bagi sistem backend syarikat-syarikat telekomunikasi serta sistem bagi lebih 30,000 peruncit pihak ketiga, penjual dan ejen-ejen seperti institusi kewangan, penyedia pembayaran elektronik, pasar raya, stesen minyak dan semua ejen jualan lain. Walau bagaimanapun, syarikat-syarikat telekomunikasi terus komited untuk melakukan yang terbaik dalam menyampaikan pelaksanaan baru ini dalam masa 6 bulan.
Sementara itu, seperti yang diumumkan oleh Menteri, caj GST 6% pada jumlah tambah nilai akan kekal; dengan kata lain tambah nilai sebanyak RM10 masih dijual pada harga RM10.60.
Pihak industri telah berunding dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sejak tahun 2014 untuk memastikan langkah-langkah yang perlu telah diambil untuk pelaksanaan GST. Ia telah mengambil masa hampir setahun untuk mengkonfigurasi sistem backend dalam persediaan untuk mematuhi sepenuhnya pelaksanaan GST pada 1 April. Prinsip GST 6% ke atas harga produk dan perkhidmatan yang tidak dikecualikan atau berkadar sifar, adalah aplikasi standard di dalam semua industri dan telah diaplikasikan untuk tambah nilai setelah dipersetujui dengan JKDM.
Syarikat-syarikat telekomunikasi juga telah menyuarakan komitmennya untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih mampu milik dan akan berusaha untuk membawa pakej nilai tambah kepada pelbagai lapisan masyarakat, supaya lebih ramai rakyat Malaysia dapat berhubung.
Pihak industri akan terus melakukan pelaburan bagi menaik taraf rangkaian di negara ini dan terus komited untuk memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada pelanggan dalam usaha untuk mewujudkan satu pengalaman pelanggan yang lebih baik.
_______________________________TAMAT________________________________
Mengenai CFM
CFM merupakan sebuah badan organisasi bebas yang ditubuhkan pada bulan Februari 2001 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selaras dengan keperluan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM) di Malaysia untuk melindungi hak pengguna dalam sektor tersebut dan memudahkan kawal selia kendiri industri.
CFM bukan sahaja menyediakan ruang dan saluran untuk melaporkan aduan, tetapi juga bekerjasama dengan wakil daripada persatuan pengguna, syarikat penyedia perkhidmatan dan pihak-pihak lain yang berminat bagi merangka, membangun dan menyediakan kod-kod untuk melindungi hak-hak pengguna selain mencadangkan prosedur untuk pampasan dan tindakan kepada pelanggan sekiranya terdapat pelanggaran kepada Kod Amalan Am Pengguna (GCC) untuk Industi Komunikasi & Multimedia Malaysia. Kod tersebut telah diterbitkan pada tahun 2003.
CFM juga dalam usaha untuk mempromosi dan menggalakkan perkhidmatan dan pengendalian bermutu serta berprestasi tinggi dalam industri Komunikasi dan Multimedia. Pada masa yang sama, CFM berusaha untuk meningkatkan keyakinan dan pemahaman pengguna berkaitan perkhidmatan yang ditawarkan.
Pengguna yang tidak berpuas hati terhadap resolusi aduan yang telah dilaporkan kepada penyedia perkhidmatan komunikasi dan multimedia mereka, boleh mengemukakan kes tuntutan dengan menghubungi CFM di talian bebas tol 1 800 18 2222; atau boleh melaporkan aduan secara online di portal www.complaint.cfm.org.my atau e-mel kepada [email protected].
Pegawai Perhubungan Media:
Noor Shahdiella Abd Manan | [email protected] | 019-3246036 |
Roharrashidah Abdul Halil | [email protected] | 016-9642972 |
Razaleigh Zain | [email protected] | 019-4170766 |