CYBERJAYA, 31 MAC 2019 – CFM Animatch adalah pertandingan animasi yang pertama kali dianjurkan oleh Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) bagi menghasilkan video-video animasi yang kreatif untuk menyampaikan mesej yang mengetengahkan isu-isu yang sering dihadapi pengguna dalam perkhidmatan komunikasi dan multimedia selain dapat mencungkil bakat-bakat dalam bidang animasi.

Pertandingan CFM Animatch juga merupakan antara inisiatif CFM untuk mengadakan aktiviti dengan penglibatan orang awam bagi memberi pemahaman yang lebih baik tentang peranan CFM yang menjadi pemudah cara kepada pengguna serta memupuk amalan kawalan kendiri.

“Animasi adalah sesuatu yang menarik dan menghiburkan yang bukan sahaja sesuai untuk kanak-kanak malah golongan dewasa. Bagi CFM, format video animasi sesuai untuk menyampaikan mesej yang kompleks untuk dijelaskan dan dilakonkan dalam dunia realiti contohnya seperti isu gangguan sambungan jalur lebar fiber. Selain itu, format kandungannya juga mudah dikongsikan di platform media sosial seperti Facebook, YouTube, WhatsApp sesuai dengan peredaran masa yang banyak mendapatkan info dari dalam talian,” kata Pengerusi CFM, Mohamad Yusrizal Dato’ Yusoff.

Penyertaan CFM Animatch yang dibuka kepada umum pada Februari lepas telah menerima sebanyak 126 penyertaan daripada pelajar universiti dan karyawan animasi. Daripada keseluruhan penyertaan tersebut, 20 peserta telah dipilih pada peringkat kedua dan 10 peserta finalis dipilih untuk mara ke peringkat akhir.

Tambah Pengerusi CFM, “CFM menerima penyertaan yang menggalakkan daripada penggiat dunia animasi untuk CFM Animatch. Melalui pertandingan ini, para peserta dapat belajar untuk memahami isu-isu yang kerap dikendalikan oleh CFM dan ia menjadi ruang kepada peserta untuk mempamerkan bakat mereka kepada orang awam sehingga dapat menarik perhatian pihak luar seperti syarikat perisian animasi antarabangsa iaitu Toon Boom yang turut hadir menyertai sesi saringan papan cerita CFM Animatch.”

10 peserta finalis yang dipilih oleh panel juri telah melalui sesi ulasan dan mendapat tunjuk ajar selama empat minggu berturut-turut bagi menyiapkan video animasi mereka sebelum pemilihan pemenang.

Mesej video-video animasi peserta finalis merangkumi tip-tip berkenaan penggunaan data, polisi penggunaan yang adil, kemudahalihan nombor, iklan pop-up, sambungan jalur lebar, tempoh sah talian prabayar, dan masalah rangkaian.

Panel juri profesional yang terlibat dalam memberi tunjuk ajar dan mengadili karya video animasi para peserta ialah Bapa Animasi Negara, Hassan Abd Muthalib; Mike Ismail – Pengarah Filem Animasi dan Ayie Ibrahim, Pengarah Animasi Creatvtoon Studio.

Juara bagi CFM Animatch menerima hadiah wang tunai RM8,500 beserta trofi manakala naib juara dan tempat ketiga masing-masing menerima hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 dan RM3,000. Acara penyampaian hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Bahagian Dasar Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Shakib Ahmad Shakir yang turut hadir bagi menyempurnakan acara kemuncak CFM Animatch. Tujuh peserta finalis yang lain membawa pulang hadiah sagu hati sebanyak RM500.

Video-video animasi pemenang dan peserta finalis akan dikongsikan di media sosial dan saluran YouTube CFM serta di beberapa saluran TV sebagai pesanan khidmat masyarakat (PSA) untuk memberi panduan kepada pengguna jika menghadapi isu-isu perkhidmatan komunikasi dan multimedia.

#HakAndaKeutamaanKami

#JadilahPenggunaYangBijak

#AmbilTahu

#JadilahPenggunaCelikTeknologi

_______________________________TAMAT______________________________

 Mengenai CFM

Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) ditubuhkan pada bulan Februari 2001 dan telah ditetapkan sebagai salah satu forum industri oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), selaras dengan Peruntukan Seksyen 189 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM). Ia menjadi salah satu platform bagi industri dan pengguna/orang awam bagi menyumbang ke arah penambahbaikan perkhidmatan dan pembangunan polisi yang lebih baik dan konstruktif. Peranan CFM bersama dengan pihak-pihak lain yang terlibat adalah untuk menggalakkan pembangunan industri komunikasi dan multimedia di Malaysia dan melindungi kepentingan pengguna dengan menggalakkan etika perkhidmatan berkualiti tinggi melalui kawal selia kendiri. CFM juga menjadi pemudah cara kepada pengguna untuk melaporkan aduan tentang perkhidmatan komunikasi dan multimedia. Jika terdapat aduan mengenai perkhidmatan komunikasi dan multimedia yang tidak diselesaikan, pengguna boleh mengemukakan aduan melalui saluran berikut:

PORTAL ADUAN https://aduan.skmm.gov.my (sistem bersepadu bersama SKMM)
APLIKASI MUDAH ALIH Muat turun aplikasi “MY MOBILE RIGHTS” di Google Play Store dan App Store
PEJABAT CFM Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (MCMC), Off Persiaran Multimedia Jalan Impact, 63000 Cyberjaya, Selangor

Untuk dapatkan lebih banyak maklumat dan tip berguna, sila layari portal CFM:

PORTAL CFM www.cfm.my www.consumerinfo.my