Mempunyai profil kerjaya yang mengagumkan sebagai penerbit TV, penyampai berita, pengacara dan juga model – Amin Hayat Abd Rahim adalah seorang pemenang anugerah wartawan dan figura yang cukup berbakat. Dengan pelbagai bakat yang ada padanya, beliau boleh dianggap seperti seorang lelaki Renaissance moden Malaysia. Beliau meluangkan masa berkongsi tentang apa yang mendorongnya untuk terus melangkah jauh ke hadapan. 

Ceritakan serba sedikit tentang diri anda.  

Saya adalah anak kedua daripada lima beradik. Bapa saya adalah bekas pengawal keselamatan dan buruh kilang, manakala ibu saya penjual kuih. Saya adalah bekas graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam bidang Kejuruteraan Perisian. Saya mempunyai cita-cita besar, dan selepas tamat pengajian saya bekerja di sebuah agensi pengiklanan dan pernah mempunyai sebuah syarikat pengurusan majlis namun hanya sementara. Saya memulakan kerjaya dalam bidang penyiaran apabila diterima bekerja sebagai wartawan di TV9 pada tahun 2006. Saya tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam bidang kewartawanan atau penyiaran, namun saya belajar daripada bawah dan diberi peluang untuk menjadi penerbit berita selepas 7 tahun bekerja.

Bagaimana anda bermula sebagai penyampai berita seperti sekarang? 

Sebelum saya memulakan kerjaya dalam bidang ini, saya pernah menjalankan perniagaan namun ia gagal. Selepas gagal dalam perniagaan, saya tidak mempunyai pekerjaan tetap selama 6 bulan. Pada masa itu, hanya keluarga yang memberi sokongan dan galakan terutama sekali ibu saya yang masih tetap menyokong dan menjadi pendorong saya. Satu hari, ibu melihat iklan TV9 yang mencari penyampai berita dan menyarankan saya untuk mencuba. Ketika itu, difahamkan lebih 5000 calon yang memohon tetapi hanya lebih kurang 100 orang sahaja yang dipanggil untuk sesi temuduga. Daripada jumlah itu hanya 3 orang diterima termasuk saya. Saya tidak mempunyai pengalaman tetapi saya bersedia untuk belajar dan bekerja keras, mengambil tanggungjawab yang diberikan secara serius dan mengambil setiap peluang untuk menambah pengalaman.

Apa yang membuatkan seseorang itu menjadi penyampai berita yang baik?

Tiada jalan pintas untuk berjaya. Penyampai berita perlu bermula dari bawah, perlu turun padang untuk mencari dan melaporkan berita dan bukan hanya di studio. Ia lebih memberi nilai dan impak apabila turun padang melaporkan dari lokasi. Saya menjadikan Anderson Cooper dari CNN sebagai idola.

Apakah kunci kejayaan anda? 

Untuk berjaya dalam bidang ini, seseorang itu perlu bijak membuat perancangan, persediaan dan ada minat yang tinggi. Sebelum melaporkan sesuatu isu atau berita, perlu membuat kajian terlebih dahulu supaya mudah untuk menyediakan skrip dan mendapat sudut cerita yang betul. Fokus amat penting dan perlu menepati tarikh akhir tugasan selain perlu menyediakan pelan sokongan jika pelan asal tidak berhasil. Seseorang itu perlu ada minat dan kesediaan untuk menyiapkan tugasan walaupun terpaksa bekerja ketika hari cuti.

Ceritakan tugasan harian anda di tempat kerja. 

Masa kerja saya lebih fleksibel. Paling awal saya ke pejabat pada 7.30 pagi dan paling lewat saya akan balik pada jam 9.00 malam. Jika saya bertugas sebagai penerbit berita, saya bertanggungjawab dalam proses penghasilan berita dari awal sehingga ia disiarkan di TV secara langsung. Jika tidak terlalu sibuk, saya akan mengambil peluang untuk bersenam di gim. Jika saya diperlukan untuk menyampaikan berita dalam masa yang sama, saya akan mengikut jadual yang telah dirancang. Secara purata, saya akan menyampaikan berita sekurang-kurangnya 15 kali sebulan namun bergantung kepada situasi.

Apa yang anda biasa lakukan pada waktu santai selepas sibuk bekerja? 

Saya akan ke gim. Tanggungjawab saya sebagai penyampai berita dan penerbit memerlukan saya untuk kuat dari segi mental dan izikal. Fokus saya bukan mahu mendapatkan fizikal seperti jaguh bina badan, tetapi kesihatan adalah keutamaan saya. Impian saya adalah untuk menjadi penghias kulit majalah Men’s Health Malaysia. Haha.. Insha Allah..

Apakah momen paling membanggakan anda setakat ini? Mengapa? 

Momen yang paling membanggakan buat saya dalam industri tempatan apabila saya menerima anugerah Wartawan Penyiaran bagi tahun 2014 yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Di peringkat antarabangsa pula, saya dipilih mewakili media Malaysia ke Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Asia dan Pasiik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCAP) di Bangkok, Thailand.

Internet adalah sumber maklumat yang luas. Sebagai penyampai berita, bagaimana anda mentafsirkan fakta dan rekaan? 

Memang benar Internet adalah sumber maklumat yang besar. Sebagai generasi yang celik IT, kita seharusnya memahami sesuatu isu dengan lebih mendalam dan tahu ia datang dari sumber yang sahih sebelum menggunakannya. Malangnya, apa yang berlaku sekarang terdapat individu yang mengambil maklumat tersebut tanpa memastikan ketepatannya dan menjadikannya sebagai fakta. Sebagai netizen yang bijak, anda perlu beretika dalam penggunaan Internet dan bertanggungjawab terhadap maklumat yang diterima sebelum disebarkan kepada umum.

Pada hari ini, berita boleh dilaporkan serta merta di media sosial. Pendapat anda tentang peranan masyarakat yang menjadi wartawan dan bagaimana teknologi menjadikan sesiapa sahaja untuk melaporkan berita di mana pun ia berlaku?

Ia adalah satu perkara yang hebat. Masyarakat boleh menjadi wartawan dan melaporkan berita yang sukar dilaporkan oleh media konvensional dengan lebih cepat ketika sesuatu kejadian itu berlaku. Namun, individu itu perlu menyertakan fakta dan bukti serta mengamalkan etika selain perlu tahu konsep 5W1H (Where, Why, What, When, Who, How). Contohnya dalam melaporkan berita kemalangan. Tiada masalah untuk mengambil gambar tetapi ia adalah sensitif untuk mengambil gambar mangsa yang hancur dan didedahkan kepada umum.

Apakah perkara yang menjadi kebimbangan anda dalam menyampaikan maklumat penting kepada orang ramai? Apakah peranan media untuk melindungi kepentingan orang ramai dan kebenaran? 

Media sememangnya memainkan peranan yang amat penting. Maklumat boleh tersebar dengan cepat dan memberi kesan kepada persepsi orang ramai terhadap sesuatu isu. Sebagai pengamal media adalah amat penting untuk melaporkan berita dengan fakta yang tepat dan sahih. Namun, di media sosial ia kadang-kadang disalahgunakan oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Jadi wajar berhati-hati apabila menggunakan dan menyampaikan maklumat di media sosial seperti Twitter, Whatsapp dan Facebook, khuatir berita tersebut tidak benar dan terdapat konteks yang salah.

APLIKASI PILIHAN AMIN 

Sebagai penerbit berita, Amin memerlukan aplikasi yang membolehkannya berkongsi dan menyebarkan maklumat kepada penonton dan rakan sekerjanya dengan lebih cepat. Berikut adalah enam aplikasi pilihan yang amat diperlukannya semasa bekerja.

Sumber : SHOUT Q3 2015consumerinfo.my #connected #CFMmalaysia  #CFMshout