Pada tahun 2010, apabila cetusan idea anak muda, Amir Muhammad untuk membina syarikat yang menerbitkan novel dalam bahasa Melayu dikenali sebagai Buku Fixi, ramai yang menganggap usaha itu “biasa – biasa saja”. Tetapi, disebabkan Amir punya pengikut dan Amir sendiri punya bakat hebat dalam menghasilkan novel, namanya mula meniti di bibir pembaca novel. Ketika ramai orang tergila-gila menjual pelbagai produk kecantikan dan pakaian secara dalam talian, Amir mencuba sesuatu yang lain dan sudah tentunya tidak popular di mata kebanyakan orang. Namun, ternyata usahanya berbaloi. Buku Fixi mencetuskan fenomena. Kini, jejaka ini sudah boleh tersenyum, bukan kerana dia berbangga dengan dirinya sendiri, tetapi kerana dia berbangga melahirkan begitu ramai penulis sekaligus menjana pendapatan mereka dan paling penting memupuk minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia. Jom kita kenali siapakah Amir Muhamad dan Buku Fixi miliknya.
- TERIMA KASIH FACEBOOK!
Jika dilihat trend masa kini, dek kerana penggunaan telefon pintar dan media sosial yang semakin berleluasa, buku berbentuk fizikal bukan lagi pilihan utama masyarakat untuk mendidik mahupun berhibur. Jika ada sekalipun, hanya novel cinta remaja yang masih mengujakan pembaca. Itupun kerana banyak daripadanya menjadi pilihan penerbit filem dan drama untuk diadaptasi ke layar panggung mahupun kaca TV. Atas sebab itu, agak sukar untuk syarikat penerbitan menerbitkan sebarang naskhah yang diminati namun tidak bagi Buku Fixi. Ya, Buku Fixi merupakan medium penerbitan majalah alaf baru di mana ia memberikan peluang kepada penulis amatur menghasilkan karya yang “sedikit berbeza” dan menjualnya secara dalam talian mahupun di rangkaian kedai buku terkenal.
Idea untuk menubuhkan Buku Fixi ini datang pada bulan Ogos 2010 di satu acara anjuran syarikat rangkaian buku Popular. Waktu itu, 10 novel Melayu yang paling laris untuk tahun sebelumnya disenaraikan, dan hampir kesemuanya terselit perkataan ‘cinta’ dan ‘kasih’ pada setiap tajuknya. Saat itu, saya terus terfikir untuk membuat satu kelainan. Call for entries. Ya, di situ saya menghantar mesej kepada kesemua ahli Facebook Matahari Books, iaitu syarikat pertama saya dan menyenaraikan cadangan buat sesiapa yang mahu menulis. Syarat yang saya letak, antaranya 60,000 perkataan sahaja, berbahasa slanga dan celupar, bertemakan urban dan kontemporari serta satu perkataan untuk setiap judul. Daripada 2500 ahli, 11 yang memberi respon, namun tiga novel (mengikut kriteria) melepasi tapisan iaitu Pecah, Cekik dan Kougar. Tanpa Facebook, Buku Fixi tidak mungkin dapat dilancarkan dan dikenali.
- BERIDENTITI, UNIK DAN BERBEZA
Fixi nama unik seunik konsepnya. Nama syarikat diambil dari Bahasa Indonesia “fiksi” yang dicedok dari perkataan Bahasa Inggeris “fiction”. Pendek kata, menunjukkan yang tidak ada apa-apa yang asli dalam dunia novel ini.
- BAGAIMANA PULA DENGAN SASARAN PEMBACA BUKU FIXI?
Sasaran pembaca kami adalah sesiapa saja yang boleh membaca bahasa kebangsaan kita, termasuk mereka yang lebih suka membaca dalam bahasa Inggeris. Malah ‘gaya Fixi’ berbeza dengan gaya Dewan Bahasa dan Pustaka. Kami ingin menekankan plot dan gaya yang berbeza yang immediate dan in your face. Ayat lebih celupar, rojak dan berslanga. Jika di negara orang putih, ia digelar pulp fiction. Genre pulp-fiction ini tertumpu kepada elemen kehidupan yang gelap, sensasi dan panas, namun masih menjaga isu sensitiviti. Malahan, konsep kulit buku kami juga berbeza. Berbeza dengan kebanyakan novel yang menggunakan fotografi, kami menggunakan ilustrasi.
- TIDAK GUSAR DENGAN INDUSTRI PENERBITAN YANG KIAN MERUNDUM DEK MINAT MEMBACA RAKYAT MALAYSIA YANG SEMAKIN “MATI”? DAN APA PULA STRATEGI BUKU FIXI UNTUK KEKAL “HIDUP”?
Kami percaya masih ramai lagi rakyat Malaysia yang sebenarnya minat membaca. Ya, Buku Fixi terilham dari deretan novel cinta yang terlampau banyak, namun kami bukan anti cinta. Cuma kehadiran kami adalah untuk menambah variasi dan seri dalam scene novel Melayu yang sememangnya masih lagi happening! Empat daripada buku kami telahpun dijual hak penerbitan ke Indonesia, dan tiga juga telah dijadikan filem, iaitu Pecah, KL Zombi (adaptasi novel Zombijaya) oleh Grand Brilliance yang telah keluar, dan Gantung oleh Red Films yang akan menemui penonton akhir tahun ini.
- APA HARAPAN TERHADAP BUKU FIXI?
Ya, saya ingin melihat Buku Fixi menjadi pilihan buat pembaca yang inginkan kelainan dalam rejim bacaan mereka. Kami juga berharap agar dapat melahirkan ramai penulis novel dan seterusnya ‘menghidupkan’ industri penerbitan. Pembaca boleh melayari laman web fixi.com.my untuk memilih pilihan bacaan yang kami tawarkan. Kami juga boleh diikuti di laman sosial dan juga melawati rangkaian kedai buku popular di seluruh tanah air. Akhir kata, selamat membaca!
Sumber : SHOUT H1 2016, consumerinfo.my #interaksi #CFMmalaysia #CFMshout