Bukan satu kelaziman apabila anda dapat melakukan minat sendiri di samping dapat membantu mereka yang kurang bernasib baik. Namun, bagi Muhammad Adeeb, beliau dapat melakukan perkara ini dalam satu masa melalui sebuah pengembaraan menakjubkan untuk menerokai kehidupan dan melakukan kebajikan dengan cara berbasikal. Sick Siders bermula dan diwujudkan untuk menjadikan mimpi menjadi realiti. Saya dan kawankawan berkongsi minat yang sama iaitu untuk mencabar kemampuan diri, meneroka tempat-tempat baharu, bangsa dan budaya lain serta keinginan untuk meningkatkan kesedaran mengenai pelarian dan kemiskinan. Sick Siders ditubuhkan untuk mengecapi impian ini. Saya dan rakan-rakan Sick Siders memulakan perjalanan kami di England pada awal tahun 2014 dengan menggelarkan misi kami sebagai “Journey to Homeland by SSMY” (Perjalanan ke Tanah Air oleh SSMY). Kami berbasikal merentasi 22 buah negara dari England ke Malaysia yang meliputi 29,000 kilometer selama 17 bulan. Sepanjang tempoh itu, kami memuat naik perjalanan kami secara langsung di media sosial di mana kami berkongsi pengalaman di sepanjang perjalanan termasuk kegembiraan, kepayahan yang dilalui selain menceritakan nasib pelarian dan gelandangan.
Perjalanan kami sentiasa melalui kesukaran. Ada satu ketika saya hampir mengalami reput fros (frostbite) akibat cuaca yang terlalu sejuk. Saya hampir tidak dapat merasakan jari sendiri dan saya bertanya kepada diri saya mengapa saya meletakkan diri untuk melalui keadaan ini. Saya kuatkan semangat untuk menghadapi semuanya dan berserah pada ketentuan Tuhan. Saya juga berdepan dengan perkara yang agak menakjubkan. Saya bertemu dengan seekor anjing semasa di Macedonia dan menamakannya sebagai Ohrid. Ia (Ohrid) meminta makanan. Saya telah memberikan sedikit makanan kepadanya dan fikir ia akan beredar selepas itu. Tetapi, Ohrid mengikuti perjalanan kami sejauh 200km selama 8 hari. Namun, Ohrid tidak dapat meneruskan perjalanan bersama kami akibat kecederaan pada kakinya. Saat yang paling sukar adalah ketika memeluk Ohrid dan mengucapkan selamat tinggal. Kenangan bersama Ohrid tidak akan dapat dilupakan. Meskipun dalam perjalanan yang panjang dan berdepan dengan kesejukan malam, saya tetap akan berhubung dengan rakan-rakan, keluarga dan penyokong yang mengikuti perjalanan saya. Berinteraksi pada zaman teknologi ini lebih mudah dengan adanya media sosial tetapi perlu bijak untuk menguruskan bil-bil telekomunikasi. Untuk lebih jimat bagi caj perantauan, kami hanya membeli kad SIM pas harian jika berada di sesebuah negara untuk satu tempoh masa yang singkat. Jika kami tinggal selama sebulan atau lebih pula, kami akan mendapatkan kad SIM tempatan. Dengan cara itu, boleh menjimatkan bil telefon apabila menggunakan perkhidmatan perayauan antarabangsa. Kami turut membawa pelbagai alat pengecas tambahan (power bank) bagi memastikan barangan elektronik dapat digunakan secara berterusan. Kami banyak menghabiskan masa menikmati setiap detik perjalanan dan tidak ‘melekat’ dengan telefon sepanjang waktu. Setiap perjalanan bukan satu perlumbaan, tetapi ia adalah satu pengembaraan. Perjalanan ini adalah satu pengalaman yang luar biasa dan banyak yang telah saya pelajari bersama rakan-rakan Sick Siders. Jika berpeluang melakukan pengembaraan ini sekali lagi, saya pasti akan melakukannya.
RASAI PENGALAMAN MENAKJUBKAN Saksikan perjalanan epik yang ditempuhi Sick Siders melalui pengembaraan mereka.
Untuk menonton lebih banyak video, ikuti mereka di www.ssmy.co.uk, Facebook di www.facebook.com/sicksidersmalaysia dan Twitter di twitter.com/SICKSDRSMY
Sumber : SHOUT Q3 2015, consumerinfo.my #connected #CFMmalaysia #CFMshout