Walaupun dikatakan perkara paling indah dalam hidup itu adalah sesuatu yang boleh didapati secara percuma, namun kata-kata itu tidak terpakai untuk kegiatan lanun digital atau dikenali sebagai cetak rompak digital. Tidak tahu apa-apa mengenainya bukanlah alasan, dan fakta bahawa menggunakan perkhidmatan langganan penstriman video, laman perkongsian fail atau dekoder (set top box) secara haram itu lebih murah dari saluran yang sah tidak sama sekali akan melepaskan anda dari tindakan undang-undang.
Lebih teruk lagi jika anda berkongsi pautan filem atau drama yang dicetak rompak kepada kawan-kawan anda di media sosial. Semua ini akan membawa anda ke muka pengadilan kerana perbuatan bersubahat dengan kegiatan cetak rompak digital adalah salah di sisi undang-undang malahan tidak bertamadun.
Namun apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan cetak rompak digital? Jadual ini merangkumkan fakta-fakta yang berkaitan…
APAKAH ITU CETAK ROMPAK DIGITAL? |
Cetak rompak digital ialah kegiatan menyalin dan berkongsi kandungan seperti filem, buku digital (e-book), permainan video atau kandungan lain tanpa kebenaran pemilik yang memegang hak cipta asal • Menggunakan set top box secara haram untuk menonton kandungan juga dikira sebagai cetak rompak digital kerana pencipta asal kandungan tersebut tidak mendapat yuran perlesenan kandungan yang ditonton secara haram di set top box • Menggunakan perisian cetak rompak tanpa lesen di rumah atau di pejabat • Menggunakan servis perkongsian fail untuk menyebar, berkongsi, atau memuat turun kandungan digital dan menstrim filem atas talian juga dikira menyumbang kepada kegiatan lanun digital |
KENAPA KEGIATAN CETAK ROMPAK DIGITAL ITU SALAH? |
• Cetak rompak digital menafikan bahagian pendapatan bagi pemilik hak cipta yang asal dan akhirnya tidak mendorong mereka untuk melahirkan lebih banyak karya dan kandungan baharu • Sekiranya anda memuat turun kandungan digital yang dicetak rompak seperti perisian, permainan video, dan filem, selalunya ia terpaut bersama perisian hasad (malware) dan virus • Anda tidak lindungi oleh sebarang undang-undang jika anda menggunakan perisian dan kandungan secara haram. Jika berlaku sebarang masalah atau set top box cetak rompak anda hilang, anda tidak berhak untuk menerima bayaran balik, sokongan teknikal apatah lagi membuat sebarang aduan rasmi • Anda membuka ruang risiko kepada kecurian identiti kerana laman perkongsian fail melalui individu-ke-individu atau memuat turun kandungan secara haram boleh mendedahkan butiran peribadi anda kepada penggodam |
UNDANG-UNDANG APA YANG ANDA LANGGAR? |
Tindakan ‘merompak’ kandungan digital bermakna anda telah melanggar beberapa undang-undang di Malaysia dan mungkin juga di luar negara. Di Malaysia, anda boleh dipertanggungjawabkan dengan tindakan undang-undang di bawah: |
BAGAIMANAKAH SAYA BOLEH MENGENALI KANDUNGAN DIGITAL ITU TELAH DICETAK ROMPAK? |
• Kandungan digital yang dicetak rompak seperti filem-filem yang dirakam biasanya memiliki paparan resolusi yang rendah dan kualiti audio yang teruk supaya anda tidak dapat menikmati dengan sewajarnya. Sekiranya filem tersebut masih ditayangkan di pawagam namun boleh didapati di saluran-saluran lain, ia kemungkinan telah dicetak rompak • Jika ada sesuatu yang boleh didapati dengan harga yang tidak masuk akal, atau ia muncul di laman web yang pelik dengan pop-up iklan yang terlalu banyak dan meminta anda memuat turun perisian tambahan yang pelik ke dalam komputer atau telefon, ia kemungkinan adalah kandungan cetak rompak • Jika penjualnya mempunyai reputasi yang buruk, maklum balas negatif dan meminta anda untuk berunding harga secara asing dan bukan di platform jualan yang asal, mereka kemungkinan menawarkan kandungan yang telah dicetak rompak • Pembungkusan produk tidak mempunyai hologram sekuriti rasmi dan nampak seperti direka, rekaannya pula buruk dan tidak meyakinkan. Lebih teruk lagi jika ia langsung tiada pembungkusan. Ia kemungkinan besar ialah barang cetak rompak |
Akhirnya, perkara yang betul (dan selamat) malahan paling mudah untuk dilakukan ialah dengan melanggan dan mendapatkan kandungan dari saluran-saluran yang sah. Jika anda melihat kejadian atau kegiatan cetak rompak digital, lakukan perkara yang betul dan bantu laporkan kepada pihak berkuasa dengan mencari borang Pelanggaran Hak Cipta, borang Akta Hak Cipta Milenium Digital (DMCA) atau borang Penyalahgunaan terhadap perkongsian yang berkaitan atau platform penstriman dan isi borang dengan lengkap.
Bagi kes-kes pelanggaran hak cipta, anda boleh menghantar surat rasmi kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) atau melalui laman E-Aduan KPDNHEP https://eaduan.kpdnhep.gov.my/.
Ingat, jangan jadi lanun digital!
Sumber : SHOUT H2, 2018