CYBERJAYA, 5 DISEMBER 2017 – Nombor telefon pengguna menjadi antara data peribadi paling berharga dalam dunia digital pada hari ini dan menjadi sangat berbahaya jika ia diperoleh oleh penjenayah yang menggunakannya untuk memperdaya pengguna seperti penipuan scam. Sejak akhir-akhir ini, pelbagai kes melibatkan pengguna yang terpaksa menanggung kerugian sehingga beratus ribu ringgit telah didedahkan di dalam media dan media sosial akibat terjerat dengan penipuan scam. Sebagai sebuah forum industri yang berperanan untuk memperkasakan pengguna, Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) menggesa para pengguna agar lebih berwaspada apabila menerima panggilan yang mencurigakan dan sentiasa peka mengenai teknik penipuan yang digunakan sindiket scam bagi mengelakkan diri daripada ditipu menerusi kegiatan haram tersebut.  

Pengguna perlu mengetahui bahawa tujuan utama sindiket tersebut adalah untuk mendapatkan butiran peribadi perbankan daripada mangsa yang tidak dapat menghidu kegiatan licik mereka. Taktik yang digunakan sindiket tersebut ialah dengan meyakinkan mangsa bahawa mereka adalah wakil bank atau badan penguatkuasa undang-undang. Mereka akan menakut-nakutkan mangsa sehingga dapat mempengaruhi mangsa untuk memberikan butiran perbankan kepada mereka supaya mereka dapat mengeluarkan wang daripada akaun bank mangsa.

Melalui kaedah “Caller ID Spoofing”, sindiket penipuan scam boleh meniru nombor telefon pihak lain dan nombor tersebut akan tertera pada telefon mangsa yang dihubungi. Mereka akan menghubungi mangsa dan menyamar sebagai pegawai dan memaklumkan bahawa mangsa terlibat dengan kes jenayah, saman mahkamah, mempunyai jumlah tunggakan kad kredit atau mereka akan cuba mewujudkan situasi yang membuatkan mangsa panik sekaligus menjadikan mangsa percaya bahawa panggilan berkenaan adalah daripada pihak berkuasa atau agensi yang sah.

“CFM menasihati pengguna agar sentiasa peka dengan teknik-teknik terkini yang digunakan oleh sindiket scam untuk memperdaya pengguna menjadi mangsa mereka. Ia juga amat penting bagi pengguna untuk memahami implikasi jika mendedahkan maklumat peribadi dengan sewenang-wenangnya kepada pihak yang diragui. Jika mendapat panggilan yang mencurigakan, CFM menyarankan agar pengguna menghubungi sendiri institusi yang berkaitan atau terus pergi ke pejabat insitusi tersebut yang berdekatan dengan anda untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara tersebut,” kata Pengerusi CFM, Mohamad Yusrizal Dato’ Yusoff.

Berikut ialah saranan CFM kepada pengguna untuk mengelak daripada menjadi mangsa sindiket penipuan scam:

TIPS CFM BAGI ELAK MENJADI MANGSA SINDIKET PENIPUAN ‘SCAM’
1. Jangan jawab panggilan daripada nombor telefon dari luar negara yang tidak dikenali, melainkan nombor tersebut adalah senarai kenalan anda.
2. Jangan berikan sebarang maklumat peribadi anda seperti nombor akaun bank, password perbankan online, kod CVV pada kad bank anda atau pun nombor TAC anda kepada pihak yang tidak dikenali. Jika pihak tersebut meminta maklumat tentang kad debit/kredit dan perbankan online anda, lebih baik anda tamatkan sahaja panggilan tersebut.
3. Jika anda menerima panggilan daripada bank atau pihak penguatkuasa undang-undang mengenai sebarang masalah undang-undang melibatkan anda, catat butiran daripada pihak yang menghubungi anda dan maklumkan kepada mereka yang anda tidak dapat bercakap pada waktu tersebut dan akan menghubungi mereka semula. Bertenang dan jangan panik.

Semak nombor telefon bank anda atau pihak penguatkuasa undang-undang di laman web rasmi mereka seterusnya hubungi mereka untuk mendapatkan penjelasan lanjut. Alternatif lain, anda boleh ke pejabat mereka untuk menyelesaikan urusan berkenaan. 

4. Jangan memuat turun sebarang aplikasi jika anda diminta berbuat demikian kerana dikhuatiri mengandungi ‘Malware’ atau ‘Spyware’ yang mungkin dapat mendedahkan butiran peribadi anda.
5. Hubungi Penyedia Perkhidmatan anda jika anda menerima panggilan yang tidak dikenali berulang kali.
6. Gunakan aplikasi seperti “Truecaller” bagi mengenal pasti panggilan dan menyekat panggilan ‘spam‘.

Selain itu, pengguna juga perlu mengambil beberapa langkah proaktif bagi melindungi data peribadi agar tidak terdedah dan menjadi sasaran sindiket penipuan, tanpa perlu menghentikan semua aktiviti dalam talian. Berikut merupakan beberapa tips daripada CFM:

SARANAN CFM KEPADA PENGGUNA UNTUK MELINDUNGI DATA PERIBADI
1. Jangan beri nombor telefon peribadi anda untuk mendapatkan hadiah percuma atau baucar promosi. CFM menasihati pengguna agar membuat emel alternatif jika terdapat keperluan untuk mendaftar menggunakan alamat emel yang hanya mempunyai maklumat peribadi minimum untuk boleh dikenal pasti bagi mendapatkan hadiah percuma dan baucar promosi.
2. Berhati-hati  apabila mendaftar untuk sebarang pertandingan dan cabutan bertuah. Baca terma pertandingan dengan teliti sama ada penganjur pertandingan akan berkongsi data anda kepada pihak lain.
3. Sentiasa waspada apabila mendaftar maklumat peribadi anda di mana-mana laman web. Beri nombor telefon anda jika ia benar-benar diperlukan.
4. Sebelum memuat turun sebarang aplikasi pada telefon pintar anda, baca polisi privasi dan dapatkan maklumat yang tepat. Buat semakan di Google bagi mendapatkan ulasan tentang aplikasi tersebut yang akan membantu anda untuk mengenal pasti sebarang aplikasi yang mencurigakan.

Untuk kupasan lanjut mengenai perangkap penipuan scam, tonton temu bual khas CFM di dalam program RTM Suara Kita Hak Kita di pautan berikut: https://goo.gl/GLSw9o CFM sentiasa komited untuk mengutamakan hak-hak pengguna di dalam industri komunikasi dan multimedia. CFM adalah platform sehenti buat pengguna untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan tips berkaitan perkhidmatan komunikasi dan multimedia. Pengguna boleh melaporkan aduan yang tidak diselesaikan penyedia perkhidmatan dengan menghubungi talian bebas tol CFM melalui 1-800-18-2222 atau emel ke aduan@cfm.org.my.

#YourRightsOurPriority #BeASmartConsumer #TakeNote #BeATechSavvyUser

_______________________________TAMAT________________________________

Mengenai CFM

Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) ditubuhkan pada bulan Februari 2001 dan telah ditetapkan sebagai salah satu forum industri oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), selaras dengan Peruntukan Seksyen 189 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM). Ia menjadi salah satu platform bagi industri dan pengguna/orang awam bagi menyumbang ke arah penambahbaikan perkhidmatan dan pembangunan polisi yang lebih baik dan konstruktif. Peranan CFM bersama dengan pihak-pihak lain yang terlibat adalah untuk menggalakkan pembangunan industri komunikasi dan multimedia di Malaysia dan melindungi kepentingan pengguna dengan menggalakkan etika perkhidmatan berkualiti tinggi melalui kawal selia kendiri. CFM juga menjadi saluran kepada pengguna untuk melaporkan aduan tentang perkhidmatan komunikasi dan multimedia. Jika terdapat aduan mengenai perkhidmatan komunikasi dan multimedia yang tidak diselesaikan, pengguna boleh mengemukakan aduan kepada CFM melalui saluran berikut:

PORTAL ADUAN CFM (COP) www.complaint.cfm.org.my
CONSUMER HOTLINE 1-800-18-2222
EMEL aduan@cfm.org.my
APLIKASI MUDAH ALIH Muat turun aplikasi “MY MOBILE RIGHTS di Google Play Store dan App Store
PEJABAT CFM Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (MCMC), Off Persiaran Multimedia Jalan Impact, 63000 Cyberjaya, Selangor.

Untuk maklumat lanjut, lawati laman web CFM di consumerinfo.my Pegawai Perhubungan Media:

Noor Shahdiella Abd Manan               shahdiella@cfm.my                            019-3246036

Roharrashidah Abdul Halil                  roharrashidah@cfm.my                      017-8961588

Nur Shazwani Zainudin                       shazwani@cfm.my                             017-4012010