PETALING JAYA, 3 JULAI 2019 – Isu-isu pengguna terus menjadi keutamaan bagi Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM). Menyedari perubahan pesat dalam industri telekomunikasi dan permintaan pengguna yang semakin mencabar, CFM mengambil inisiatif dengan mengadakan sesi Dialog CFM 2019 bagi memberi peluang kepada pengguna untuk mendapatkan maklumat lanjut dan berbincang secara konstruktif bersama penyedia perkhidmatan serta badan pengawal selia mengenai isu jalur lebar di Malaysia yang berlangsung di Pentas@Celcom.
Dialog CFM 2019 yang bertemakan “Perubahan Landskap Jalur Lebar Malaysia” merupakan kesinambungan Forum Evolusi Pengguna Digital CFM 2017 dengan memberi tumpuan kepada cabaran dan masa depan jalur lebar di Malaysia sempena meraikan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia (WTISD) 2019.
“Sebagai sebuah forum industri yang memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam proses menyelesaikan aduan pengguna, ia menjadi perhatian CFM apabila isu berkaitan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) adalah antara aduan jenis perkhidmatan berkaitan jalur lebar tertinggi diterima pada tahun 2018. Oleh itu, CFM menjadikan sesi dialog ini sebagai platform untuk pengguna memahami dengan lebih mendalam mengenai perkembangan landskap jalur lebar negara, cabaran yang perlu dihadapi oleh industri dan faktor yang memacu masa depan jalur lebar di Malaysia,” kata Pengerusi CFM, Mohamad Yusrizal Dato’ Yusoff.
Berdasarkan rekod CFM, aduan mengenai HSBB mencatatkan penurunan sebanyak 47%, iaitu sebanyak 444 aduan bagi suku pertama (Q1) tahun 2019 berbanding dengan 836 aduan direkodkan pada suku keempat (Q4) tahun 2018, hasil penambahbaikan dalam proses pengurusan aduan oleh penyedia perkhidmatan HSBB. Setakat suku pertama 2019, terdapat sebanyak 41.5 juta pelanggan jalur lebar direkodkan dalam pasaran.
Dialog CFM 2019 dihadiri seramai 230 orang di antaranya ialah pengguna jalur lebar, penganalisis industri, wakil penyedia perkhidmatan mudah alih dan internet, persatuan pengguna, media serta blogger teknologi.
Sesi dialog tersebut membincangkan tiga topik utama iaitu ‘Perkembangan corak tingkah laku pengguna jalur lebar di Malaysia’, ‘Cabaran yang dihadapi oleh penyedia perkhidmatan’, dan ‘Masa depan jalur lebar di Malaysia’.
*Slot 1: ‘Perkembangan corak tingkah laku pengguna jalur lebar di Malaysia’
Slot pertama yang disampaikan oleh Ketua Home BusinessCelcom – Khazalin Ghuzal berkongsi bagaimana Celcom mengenalpasti dan memformulasi strategi bagi memenuhi keperluan pengguna yang sering berubah terhadap perkhidmatan jalur lebar untuk melakukan aktiviti secara dalam talian seperti menonton video, permainan dalam talian, penggunaan media sosial dan e-dagang. Mengikut statistik yang telah dibentangkan, sebanyak 98% pengguna menonton video secara online dan 75% pengguna membeli produk secara dalam talian.
*Slot 2: ‘Cabaran yang dihadapi oleh penyedia perkhidmatan’
Slot kedua disampaikan oleh Pengurus Reka Bentuk Rangkaian YTL Communications – Rahul Shrivasta yang memberi pemahaman kepada para peserta dialog mengenai cabaran industri telekomunikasi dari segi pembiayaan dan teknologi untuk mencapai teknologi bertaraf dunia. Melalui sesi ini juga, YTL berkongsi alternatif terbaharu yang boleh digunapakai bagi memenuhi keperluan semasa.
*Slot 3: ‘Masa depan jalur lebar di Malaysia’
Manakala slot ketiga yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Polisi MCMC – Muhammad Razali Anuar, memberi penerangan tentang Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) yang dapat memberi manfaat kepada rakyat Malaysia. NFCP mempunyai empat objektif untuk menangani isu-isu yang menghalang ketersediaan sambungan digital berkualiti tinggi dan mampu milik serta inisiatif untuk menyokong ekonomi digital dan pelan pelaksanaan lima tahun (2019-2022).
Di akhir ketiga-tiga slot tersebut, ahli panel yang juga merupakan pakar industri menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh peserta dialog dan memberi maklum balas berkenaan perkhidmatan jalur lebar pada masa kini.
Tambah Mohamad Yusrizal, “CFM berterima kasih kepada semua wakil penyedia perkhidmatan yang sentiasa memberi sokongan dalam membantu memperkasakan pengguna dengan berkongsi maklumat dan pandangan daripada industri. CFM berharap kerjasama sebegini dapat diteruskan pada masa depan untuk kebaikan kedua-dua pihak pengguna dan industri.”
CFM akan sentiasa berusaha untuk menggalakkan pengguna menjadi lebih berinformasi dengan menyediakan maklumat yang tepat melalui pelbagai inisiatif serta akan terus memantau perkhidmatan yang ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan seperti yang telah ditetapkan dalam Kod Amalan Am Pengguna (GCC). Untuk mengetahui pelbagai lagi maklumat dan tip, pengguna boleh malayari portal CFM di www.consumerinfo.my .