Pada masa kini,sukar untuk kita temui individu yang tidak memiliki telefon pintar. Malah, ada yang memiliki lebih daripada satu telefon pintar dengan alasan supaya mereka boleh memisahkan panggilan kerja dan peribadi. Bagaimanapun, mempunyai dua telefon pintar dilihat agak memudahkan kerana boleh menjadi pengganti jika salah satunya telah kehabisan bateri, dan masih tetap boleh berhubung dengan dunia maya. Mungkin ada di antara kita dalam situasi begini. Kita menjadi terlalu bergantung kepada telefon pintar dan peranti mudah alih sehingga ia menjadi keperluan penting dalam kehidupan seharian kita. Ia telah mewujudkan ketagihan yang membawa masalah kepada kita, jika tidak secara fizikal, sekurang-kurangnya mungkin dari segi emosi dan sosial. Secara mata kasar, kita yang menentukan apa yang perlu dilakukan – ‘tunjukkan saya arah ke kafe ini, dapatkan e-mel saya, apakah berita terkini, siarkan resipi baru yang baru sahaja saya cuba; dan banyak lagi- namun tanpa kita sedar, telefon pintar kita sebenarnya seperti ‘Tuan’ yang mengarahkan kita – ‘Caj saya, bateri 75%!, hubungkan saya dengan Wi-Fi sekarang!, hei baca e-mel terbaharu ini, daftar masuk segera di kafe hipster terbaru ini !’. Teknologi yang kita cipta sepatutnya memudahkan kehidupan seharian kita, namun telah menjadi ‘Tuan’ kepada kita sehingga kita rela menjadi ‘hamba’ kepada alat ciptaan kita sendiri. Pernahkah anda tiba-tiba menjadi sangat panik apabila anda dapati telefon anda tiada? Adakah anda sentiasa memeriksa telefon anda setiap 5 minit jika ianya berada di dalam beg atau poket semasa anda berada di luar? Itu adalah tanda-tanda yang menunjukkan bahawa kita tidak lagi dapat mengawal kehidupan kita. Sebaliknya, kita telah bertukar menjadi FOBO (Fobia Terputus Talian) dan Nomophobia (Fobia berada di luar hubungan telefon mudah alih). Kita tidak boleh membiarkan telefon pintar mengawal diri kita. Sudah tiba masanya kita mendapatkan semula kuasa kawalan ke atas telefon pintar kita kerana ia telah mengganggu kehidupan kita tanpa disedari dari aspek psikologi. Berikut adalah beberapa tanda yang menunjukkan anda terlalu obses dengan telefon pintar anda sendiri.

#1 TIADA INTERAKSI KEHIDUPAN SEBENAR

Kenyataan ini amat menyedihkan namun ini adalah realiti. Apabila anda berada di kedai ‘mamak’ dengan rakan-rakan anda, adakah anda cenderung menghabiskan masa dengan telefon pintar anda dan bukannya berbual dengan mereka? Jika jawapan anda ‘Ya’, maka anda mempunyai masalah yang agak serius. Walaupun keluar untuk makan malam, perbincangan berkumpulan atau sesi karaoke, kita seolah-olah tidak dapat meninggalkan telefon pintar kita. Ia sebenarnya akan membunuh momentum dan proses perbincangan dan boleh dianggap tidak menghormati saat tersebut. Suasana sunyi menjadi janggal kerana kita tiada topik untuk dibualkan dan terlalu sibuk bermain dengan telefon.

#2 HILANG TUMPUAN UNTUK PERKARA YANG PERLU DIUTAMAKAN

Teknologi dicipta bertujuan untuk memudahkan tugasan harian kita seperti memberikan arah yang tepat ke tempat-tempat baharu, mengambil nota atau merakamkan pengalaman kita tetapi kita menggunakan peranti berguna ini sebagai alasan untuk menjadi kurang produktif. Permainan telefon mudah alih, video, muzik dan terutamanya media sosial telah mengalihkan perhatian kita daripada perkara yang lebih penting. Kita tidak tahu apa yang perlu diutamakan lagi. Pada mulanya, kita hanya ingin mencari sebuah restoran yang terdekat, kemudian muncul notifikasi pada telefon kita seperti ‘komen Facebook atau ‘Like’ terkini pada Instagram anda atau mesej kumpulan sehingga kita hilang tumpuan dan lupa niat sebenar kita kerana perlu memberi maklum balas segera pada notifikasi tersebut.

#3 PERUBAHAN DALAM TINGKAH LAKU

Adakah kita sedar bahawa tingkah laku kita mula berubah secara perlahan-lahan? Masa kita lebih banyak dihabiskan dengan telefon pintar dan kurang interaksi sesame sendiri seperti yang dinyatakan dalam butiran #1 yang menjejaskan komunikasi lisan. Ini juga boleh menyebabkan keretakan dalam hubungan antara kita dengan orang tersayang. Jangan terkejut ia memang nyata berlaku sehingga ada yang membawa kepada perpisahan. Ada yang lebih suka meluahkan ketidakpuasan hati di Facebook atau Twitter sedangkan ia boleh diselesaikan dengan baik secara bersemuka atau pertukaran pendapat dalam suasana yang tenang. Bukan itu sahaja, kita lebih mudah mengalami tekanan perasaan terhadap beberapa paparan status seperti melihat gambar rakan-rakan ke luar negara, beg Chanel terbaharu, kenaikan pangkat, perubahan status hubungan kepada ‘Berkahwin’ dan pelbagai lagi yang akhirnya kita mula membuat perbandingan pencapaian hidup kita sendiri dengan orang lain. Jadi bagaimana untuk mengatasi perkara ini? Sebenarnya kita masih ada harapan namun memerlukan tekad dan kawalan diri yang kuat, dan salah satu cara yang terbaik adalah dengan menjarakkan diri anda dalam satu-satu masa dengan telefon pintar apabila tiada keperluan untuk menggunakannya. Walaupun kita seringkali mempunyai alasan untuk menggunakannya, namun dengan mengikuti langkah-langkah mudah ini, kita akan seda bahawa kita tidak selalu memerlukan telefon pintar berada bersama kita.

  1. Nyahaktifkan notifikasi daripada aplikasi yang tidak diperlukan. Tidak semua notifikasi memerlukan tindakan yang segera dan apabila kerap mendapat notifikasi, ia akan mengganggu tumpuan kita.
  1. Tetapkan masa untuk “bebas-telefon” setiap hari sebaik-baiknya pada waktu malam supaya anda boleh fokus kepada diri anda bagi mereka yang tinggal bersendirian atau berinteraksi dengan keluarga anda dengan bertanyakan aktiviti harian mereka atau bermain ‘board games’ bersama dan banyak lagi aktiviti yang anda boleh lakukan tanpa telefon anda.
  1. Letakkan telefon pintar anda jauh dari tempat anda berehat atau tidur selepas menetapkan jam penggera atau apabila mengecasnya. Ini juga akan membantu anda daripada menekan butang ‘snooze’. Tiada lagi kelewatan di waktu pagi!
  1. Jika berkumpul dengan rakan-rakan di ‘mamak’, pastikan semuanya meletakkan telefon pintar di tengah-tengah meja dan tiada siapa yang dibenarkan untuk menyentuh telefon sehingga semuanya bersurai. Orang pertama yang menyentuh telefon mereka perlu membayar minuman semua orang.

Cuba untuk lakukan salah satu tips ini untuk atasi obsesi anda terlebih dahulu, kerana kita dalam perjalanan untuk pemulihan. Ia sememangnya sukar, namun kehidupan kita bukan sekadar untuk ‘retweets’‘comments’ atau ‘Likes’ sahaja. Sudah tiba masanya untuk kita menjadi pengguna telefon pintar yang bijak dan mendapatkan semula kehidupan bermakna dan untuk kebahagiaan sebenar.

 * * * 

Anda suka artikel, tip ini? Kongsikan di FacebookTwitter, dan Instagram anda. ‘Follow’ kami untuk ketahui lebih banyak tip & info terkini mengenai komunikasi & multimedia. 

~consumerinfo.my :: another website by Communications & Multimedia Consumer Forum of Malaysia (CFM)~