PUTRAJAYA, 19 NOVEMBER 2018 – Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) terus komited dalam melindungi pengguna melalui usaha penambahbaikan industri dengan menjalankan Sesi Perkongsian Maklumat (KSS) bersama penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan persatuan pengguna selama dua hari dari 15 hingga 16 November di Hotel Marriott, Putrajaya untuk saling bertukar maklumat dan membincangkan isu-isu yang dihadapi pengguna.

Program KSS CFM bersama industri ini merupakan edisi keempat dijalankan oleh CFM dalam masa empat tahun berturut-turut sejak dari tahun 2015 dan menjadi platform untuk membincangkan pelbagai isu pengguna dalam industri komunikasi termasuk liputan perkhidmatan fiber di seluruh negara serta isu kontrak & harga.

Program KSS bersama wakil-wakil industri ini adalah salah satu inisiatif CFM yang merupakan edisi berbeza dengan program KSS yang dijalankan bersama pengguna. Program ini lebih memberi tumpuan kepada usaha-usaha dan perbincangan intelektual bersama wakil-wakil industri dan persatuan pengguna bagi mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan terhadap isu yang membelenggu para pelanggan syarikat telekomunikasi dan multimedia di seluruh Malaysia. Melalui program ini, CFM dapat mengetahui punca sesuatu masalah dan membincangkan cadangan penyelesaian terbaik untuk sesuatu permasalahan tersebut,” kata Pengerusi CFM, Mohamad Yusrizal Dato’ Yusoff.

Program yang dihadiri seramai 70 orang wakil industri yang antaranya adalah kakitangan pengiklanan dan pemasaran industri, pembangunan produk, perkhidmatan pelanggan, pegawai pengawal selia, dan wakil persatuan-persatuan pengguna ini, menjadi platform untuk semua pihak memberi komen dan cadangan terhadap perkara-perkara melibatkan perlindungan hak pengguna melalui satu sesi dialog yang dikendalikan oleh Ketua Biro Aduan dan Pematuhan CFM, Abdul Rahman Samad.  

Dalam sesi dialog tersebut, antara isu yang paling hangat dibincangkan ialah mengenai liputan rangkaian 4G yang tidak terdapat di beberapa tempat di Malaysia sungguhpun mempunyai papan iklan yang memaparkan perkhidmatan 4G di kawasan tersebut. Selain itu, isu terikat dengan kontrak baharu jika pengguna ingin menaik taraf perkhidmatan jalur lebar juga menjadi perdebatan hangat antara pihak Telco dan persatuan pengguna. Turut dibincangkan adalah mengenai kemudahan untuk pengguna membuat perubahan dalam pelan mereka selain isu perkhidmatan mel suara.

Beberapa cadangan telah diutarakan dalam menangani isu-isu ini antaranya ialah mencadangkan pihak penyedia perkhidmatan agar menyediakan perkhidmatan untuk pengguna melakukan penamatan servis, menaik atau menurun taraf secara digital sama ada melalui aplikasi mudah alih atau laman web mereka agar dapat memudahkan pengguna dan tidak memerlukan pengguna untuk ke pusat perkhidmatan jika ingin melakukannya. Manakala bagi isu rangkaian 4G, dicadangkan agar satu nombor hotline diletakkan pada papan iklan atau risalah iklan Telco agar pengguna dapat terus melaporkan sebarang iklan yang tidak menepati keperluan atau mengelirukan. Bagaimanapun, perkara ini akan dibawa untuk perbincangan lanjut dan memerlukan penelitian sebelum dilaksanakan.

Program KSS ini juga membincangkan tentang kes tuntutan dan peraturan berkaitan pengiklanan komunikasi yang telah disampaikan oleh Pengerusi Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), Wan Rufaidah Dato’ Wan Omar. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga turut memberikan taklimat tentang Standard Mandatori Perkhidmatan Kandungan Mudah Alih kepada wakil industri yang hadir, di samping perkongsian dari Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) tentang Akta Persaingan 2010 mengenai monopoli dan kedudukan dominan.

Tambah Mohamad Yusrizal, “Melalui program perkongsian maklumat ini, CFM berharap agar penyedia perkhidmatan dapat mengamalkan etika yang baik mengikut garis panduan yang telah ditetapkan selain dapat memberi kesan yang berat kepada penyedia perkhidmatan jika mereka melanggar kod etika hak pengguna.”

CFM juga berharap program ini dapat memberikan pencerahan bagaimana kualiti perkhidmatan dapat ditambah baik jika industri memahami dengan lebih mendalam mengenai keperluan dan kehendak pengguna di samping dapat mempertingkat kesedaran tentang kepentingan kuasa pengguna yang boleh meningkatkan perkembangan positif kepada industri.

Program edisi KSS yang dijalankan sebelum ini telah banyak memberi penambahbaikan dari segi pengurusan aduan pengguna melalui perkongsian maklumat daripada pakar-pakar industri. Wakil persatuan pengguna yang diberi pendedahan berkaitan isu-isu komunikasi dan multimedia juga boleh berkongsi maklumat tersebut dengan komuniti pengguna di kawasan mereka sekaligus dapat membantu untuk pengguna melakukan kawal selia kendiri.

#HakAndaKeutamaanKami

#JadilahPenggunaYangBijak