Anda mahu jadi seorang vlogger? Berikut adalah peralatan yang anda perlukan untuk bermula!
Perkembangan pesat sambungan jalur lebar yang stabil di Malaysia telah menggalakkan lebih ramai orang untuk berkongsi, mencipta, dan menonton kandungan video di media sosial. Rakyat Malaysia memilih platform-platform media sosial yang popular seperti Facebook, YouTube, dan medium alternatif lain seperti TikTok dan WeChat untuk menonton dan berkongsi pelbagai jenis kandungan dari petua kecantikan sehinggalah ke isu semasa. Sesetengah pengguna merasakan mereka mahu lakukan lebih dari sekadar menikmati kandungan dalam talian. Mereka mahu mencipta kandungan mereka sendiri dan berkongsi dengan seluruh dunia. Merekalah yang digelar sebagai vlogger.
Para vlogger kebiasaannya menjadikan media sosial sebagai platform untuk mereka menyuarakan pandangan tentang sesuatu perkara. Mereka boleh mencipta pelbagai jenis kandungan seperti panduan resipi makanan sehinggalah lawatan langsung di kawasan kejiranan mereka.
Berikut adalah peralatan yang anda perlukan untuk bermula sebagai vlogger. ‘keep scrolling’….
- KAMERA ATAU TELEFON PINTAR YANG BERKUALITI
Ini adalah benda paling asas kepada usaha anda untuk memulakan vlog dan juga merupakan perkara terpenting yang anda perlukan. Seluruh usaha anda akan melibatkan alat ini dan kualiti video anda bergantung kepada apa yang anda beli. Jadi amat berbaloi untuk anda melaburkan sejumlah wang untuk mendapatkan kualiti video yang baik supaya anda mampu memiliki penonton yang sudi kembali untuk menyaksikan lebih banyak kandungan daripada anda. Anda tidak semestinya perlu membeli DSLR yang paling canggih kerana kebanyakan kamera kompak dan telefon pintar terbaik di pasaran sudah cukup hebat untuk anda gunakan sebagai ‘senjata’ utama melakukan kerja-kerja vlog anda. Anda juga perlu mengambil kira apakah jenis video yang bakal anda ambil dan hasilkan.
Sekiranya anda ingin mengambil rakaman di dalam kawasan tertutup atau di kawasan yang mempunyai pencahayaan yang baik, telefon pintar atau kamera kompak yang canggih sudah boleh berfungsi dengan cukup baik. Jika anda mahu merakam aktiviti yang lebih lasak seperti aktiviti merentas hutan, sukan air dan sebagainya, anda mungkin akan mendapat hasil yang lebih baik jika anda membeli kamera aksi – kamera bagi kategori ini bersaiz lebih kecil dan dicipta bersama pelindung supaya lebih tahan lasak dan sesetengah model ditambah baik dengan kelebihan kalis air. Jika kualiti imej luar biasa menjadi keutamaan anda berbanding kebimbangan yang lain, memiliki DSLR adalah sangat tepat tetapi anda perlu mengambil kira tentang berat dan juga memerlukan banyak alat tambahan lain seperti – bateri, lensa, dan sebagainya – barulah anda akan mencapai keberkesanan dalam menggunakannya.
- ALATAN PENCAHAYAAN
Vlogger yang ingin merakam kebanyakan video di dalam kawasan tertutup atau di kawasan yang kurang cahaya perlu mendapatkan sumber pencahayaan untuk menghasilkan video yang lebih jelas. Walaupun pencahayaan di tempat anda sudah cukup baik, menempatkan sumber cahaya di tempat yang strategik boleh mengubah suasana rakaman dan menjadikan ia lebih diingati. Ia bergantung kepada keadaan di mana anda merakam dan seberapa kerap anda ingin melakukannya. Anda perlu memilih alatan pencahayaan yang betul untuk mendapatkan hasil yang terbaik tanpa mengurangkan kualiti daripada alat anda.
Untuk para vlogger, salah satu alat pencahayaan yang penting untuk anda ialah gelung cahaya yang terdiri daripada satu siri lampu – atau boleh dikatakan – sinaran berbentuk gelung. Lampu ini membantu anda mengelak bayang-bayang wujud di dalam rakaman video terutama apabila merakam video individu bercakap atau menghadap kamera pada jarak dekat dan ia menjadikan subjek yang dirakam kelihatan lebih menyenangkan. Alat ini datang dalam tahap kekuatan dan saiz yang berbeza. Jadi anda perlu perlu meninjau di pasaran mengikut keperluan anda.
Alatan lain yang berguna ialah lampu-atas-kamera yang kebiasaannya merupakan sinaran LED bersaiz tapak tangan dan anda boleh gerakkan dan mengubah tahap pencahayaan seperti yang anda mahukan. Jika anda telah pun mula merakam banyak aktiviti luar, lampu-atas kamera mudah alih ini amat sesuai kerana ia kompak dan sangat mudah dibawa. Malahan ia mampu menghasilkan gambar yang menarik jika anda melaraskannya dengan betul. Ada banyak model yang direka dengan harga yang berbeza dan ia memiliki corak pencahayaan yang berlainan. Sesetengahnya menawarkan kekuatan cahaya yang lebih terang dan jelas manakala sesetengah yang lain pula sinaran cahaya lebih lembut dan tersebar. Kebanyakan model direka bersama bateri di dalam yang boleh dicas. Ia menjadikannya lebih mudah untuk jangka masa panjang daripada anda perlu menukar bateri setiap masa.
- TRIPOD ATAU PENSTABIL GIMBAL
Tripod adalah alat yang sangat penting bagi seorang vlogger, malahan juga bagi seorang jurugambar. Bukan hanya kerana ia mudah dibawa dan senang untuk mengambil gambar dan video tetap, namun ia juga diperlukan jika anda ingin mendapatkan pengalaman vlog secara solo atau anda ingin mengambil rakaman dalam jangka masa yang panjang. Jika anda memiliki lengan besi, anda mungkin tidak akan mengalami sebarang masalah. Namun kebiasaannya tangan anda pasti menggigil jika anda memegang kamera terlalu lama dan ia akan menjadikan video atau rakaman anda bergegar. Malahan sesetengah rakaman tidak mampu untuk dirakam tanpa tripod seperti rakaman selang masa, rakaman dalam kondisi cahaya malap, rakaman bintang di waktu malam, rakaman lintasan cahaya atau rakaman acara yang panjang seperti ceramah, seminar dan sebagainya.
Tripod datang dalam pelbagai saiz dan tahap ketahanan yang berbeza. Jadi anda perlu telitikan terlebih dahulu apa yang anda perlukan. Tripod bersaiz poket memang ada dan dicipta khas untuk kegunaan telefon pintar dan kamera yang ringan namun ia berkemungkinan pendek. Jadi anda perlu meletakkannya di atas meja atau tempat yang tinggi ketika merakam. Apa yang bagus ialah ia sangat mudah alih. Jika anda menggunakan kamera yang lebih besar dan berat atau anda perlu merakam sudut yang lebih tinggi, anda memerlukan tripod tradisional bersaiz penuh namun kebiasaannya ia agak berat untuk dibawa.
Fungsi tripod itu sendiri membolehkan anda mengambil rakaman di kedudukan yang statik. Namun bagaimana jika anda perlu mengambil rakaman yang lancar ketika bergerak? Di situlah penstabil Gimbal memainkan peranan. Gimbal adalah penstabil khas yang dibina bersama giroskop dan pemberat yang membantu menyeimbangkan kamera anda dan membatalkan pergerakan mendadak yang dapat memastikan video anda bergerak lancar dan cantik. Penstabil Gimbal hadir dengan pelbagai saiz bermula dari yang direka kecil untuk telefon pintar sehinggalah ke peranti yang lebih berat yang juga boleh digunakan untuk DSLR. Ia sangat berguna jika anda mahu mengambil banyak video bergerak.
- MIKROFON LUARAN
Kualiti audio yang baik adalah komponen penting untuk menghasilkan video yang hebat. Walaupun anda mengambil rakaman yang benar-benar mengasyikkan dan cukup bagi melayakkan anda
untuk memenangi Oscar, ia tidak akan berhasil jika penonton perlu membaca bibir dan meneka apa yang dikatakan di dalam video tersebut. Mungkin juga audio anda kedengaran tidak jelas
disebabkan bunyi angin atau latar belakang yang bising. Walaupun kemajuan dalam teknologi pengimejan dalam telefon pintar dan kamera boleh merakam resolusi 4K berkualiti tinggi, namun seringkali kualiti audionya tidak dititik beratkan. Kebanyakan telefon pintar dan kamera tidak mampu menghasilkan audio yang berkualiti dengan hanya bergantung kepada mikrofon sedia ada. Di sinilah anda perlu menggunakan mikrofon luaran yang berkualiti.
Cakap sahaja mengenai mikrofon dan apa yang bermain di fikiran anda ialah versi bersaiz baton yang sering anda lihat berada di tangan penyanyi di atas pentas dan penyampai program penyiaran. Namun untungnya vlogger ialah mereka boleh menggunakan alternatif yang lebih ringan dan mudah dibawa. Vlogger yang memiliki tetapan yang lebih statik dan merakam di kawasan tertutup boleh mendapatkan fon kepala yang menggabungkan alat dengar dan mikrofon. Tetapi fon kepala ini perlu disambungkan menggunakan USB ke PC untuk berfungsi. Sesetengah fon kepala yang canggih boleh membatalkan bunyi bising dan sangat mudah dibawa.
Bagi vlogger yang banyak merakam aktiviti luar, mikrofon senapang mungkin adalah pilihan yang lebih baik untuk anda. Ia boleh dipasang di atas kamera kecil dan membolehkan anda menangkap bunyi yang lebih jelas menggunakan kon yang menumpukan bunyi ke mikrofon. Jika anda mencari alternatif yang lebih ringkas, anda boleh mendapatkan mikrofon kecil yang direka khas untuk telefon pintar. Namun kebiasaannya ia mempunyai capaian jarak yang agak terhad.
Sumber: SHOUT 2019 BUMPER EDITION