CYBERJAYA, 13 JUN 2018 – Masalah untuk membuat panggilan dan menghantar mesej boleh berlaku terutama pada waktu puncak seperti pada musim perayaan. Hari Raya Aidilfitri bakal tiba dan pasti ramai pengguna yang akan menghubungi keluarga dan rakan-rakan untuk menghantar ucapan dan berkongsi gambar atau berita bagi menyambut hari tersebut. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), sebanyak 43.5 juta pengguna melanggan perkhidmatan selular mudah alih bagi suku pertama 2018, dan sebanyak 1,668 juta SMS telah dihantar dalam tempoh tersebut. Menyedari masalah telekomunikasi akibat kesesakan rangkaian yang mungkin akan berlaku kepada kebanyakan pengguna semasa hari raya nanti, Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) berkongsi tip yang boleh dilakukan pengguna jika mengalami masalah kesesakan rangkaian pada telefon mudah alih.  Pengguna perlu memahami bagaimana telefon mudah alih yang digunakan tidak berfungsi dengan baik jika berada di kawasan yang mempunyai ramai pengguna telekomunikasi. Banyak peranti mudah alih yang akan bersaing untuk mendapatkan sambungan pada rangkaian yang sama. Rangkaian akan menjadi terbeban apabila ramai yang mengunakan aplikasi yang memerlukan peruntukan data yang banyak seperti perkongsian foto dan video. Pengguna juga perlu tahu bagaimana untuk mengenal pasti sama ada telefon mengalami masalah liputan atau kesesakan rangkaian. Jika tanda aras liputan pada telefon masih menunjukkan sekurang-kurangnya 50 peratus, ini bermakna telefon masih berada di dalam kawasan liputan penyedia perkhidmatan anda. Namun jika telefon mudah alih masih tidak berfungsi, telefon tersebut gagal disambungkan ke rangkaian disebabkan kesesakan yang berlaku. Pengguna juga perlu tahu jika telefon mudah alih tidak berfungsi dalam jangka masa yang lama, ia berkemungkinan disebabkan oleh masalah kesesakan rangkaian. Apabila berlakunya masalah kesesakan rangkaian, ia boleh memberi kesan kepada prestasi peranti mudah alih pengguna seperti penurunan kelajuan data. Dalam situasi seperti ini, pengguna mungkin menunggu masa yang lebih lama untuk melayari laman web atau melengkapkan muat turun disebabkan telefon terpaksa berkongsi kapasiti jalur lebar bersama-sama dengan ramai pengguna yang lain. Pengguna juga akan mengalami masalah seperti gagal membuat panggilan atau panggilan terputus walaupun telefon mempunyai isyarat disebabkan rangkaian tidak mempunyai ruang yang cukup untuk menyambungkan panggilan. Masalah mesej tidak dapat dihantar atau diterima juga akan terjadi apabila berlaku kesesakan rangkaian walaupun telefon mempunyai liputan yang baik. Jika rangkaian mudah alih telah memenuhi kapasitinya, penghantaran mesej juga akan gagal. “Penggunaan rangkaian komunikasi kita boleh ibaratkan seperti menggunakan jalan raya atau lebuh raya. Pada hari-hari biasa, kapasitinya mencukupi untuk digunakan oleh semua tetapi apabila musim perayaan, lebih banyak kereta akan menggunakan jalan yang sama dan ini akan menyebabkan kesesakan terutamanya di kampung-kampung,” kata Pengerusi CFM, Mohamad Yusrizal Dato’ Yusoff. Walau bagaimanapun, CFM yakin bahawa semua Penyedia Perkhidmatan akan terus memastikan masalah gangguan perkhidmatan berlaku pada tahap minimum atau pun tidak ada sama sekali. Tambah beliau, perkongsian tip ini adalah untuk memberikan pengguna maklumat sebagai alternatif untuk mereka menangani masalah kesesakan rangkaian yang berkemungkinan berlaku semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti agar mereka terus dapat berhubung dengan orang tersayang. Berikut adalah tip-tip CFM bagi pengguna untuk menangani masalah kesesakan rangkaian:

  1. Tukarkan sokongan data mudah alih anda kepada rangkaian 3G atau 2G berbanding 4G/LTE. Pengguna akan mengalami data yang lebih perlahan dengan penggunaan rangkaian 2G atau 3G tetapi ia adalah alternatif yang berkesan apabila rangkaian 4G mengalami kesesakan.
  2. Cuba keluar dari rumah jika anda berada di dalam rumah. Atau anda mungkin perlu bergerak ke tempat lain daripada kawasan yang mempunyai kepadatan pengguna mudah alih yang tinggi jika anda perlu membuat panggilan atau menhantar mesej penting.
  3. Hadkan panggilan telefon jika tiada kes kecemasan, dan cuba untuk menghantar teks mesej sahaja kerana teks lebih mudah dihantar berbanding panggilan telefon.
  4. Sekiranya anda gagal membuat panggilan telefon, tunggu 10 saat sebelum membuat panggilan semula.
  5. Elak menggunakan aplikasi yang memerlukan peruntukan data yang banyak seperti perkongsian foto dan video, terutama sekali memuat naik video HD atau penstriman video.
  6. Tutup sebarang aplikasi yang berjalan di latar belakang (penggunaan data di belakang layar) dan pantau jumlah data yang digunakan.
  7. Nyah-aktifkan kemaskini atau penyelarasan data (data sync) secara automatik pada aplikasi lain. Contohnya, aplikasi e-mel yang sentiasa mengemas kini secara automatik dengan akaun pengguna yang boleh memperlahankan penggunaan data oleh aplikasi-aplikasi lain untuk mengakses rangkaian.
  8. Sekiranya anda perlu membuat panggilan video, sebaik-baiknya gunakan Wi-Fi dan elakkan penggunaan rangkaian selular.
  9. Gunakan aplikasi melajukan internet seperti Internet Speed Master, Internet Booster & Optimizer.
  10. Tanya orang di sekeliling anda jika mereka menghadapi masalah yang sama. Jika mereka menghadapi masalah sama dan menggunakan penyedia perkhidmatan yang sama seperti anda, kebarangkalian itu adalah disebabkan masalah kesesakan rangkaian.
  11. Pastikan bateri telefon anda tidak hampir kosong.
  12. Restart telefon anda jika masih mengalami masalah yang sama.

Untuk melihat infografik, boleh rujuk pautan berikut: https://goo.gl/VbCGwF CFM memainkan peranan penting untuk memperkasakan pengguna serta komited untuk melindungi hak-hak pengguna di dalam industri komunikasi dan multimedia. CFM menyediakan platform bagi pengguna untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan tips berkaitan dengan komunikasi dan servis multimedia. Salurkan aduan yang tidak diselesaikan oleh penyedia perkhidmatan kepada CFM melalui emel di aduan@cfm.org.my atau melalui aplikasi MY Mobile Rights yang boleh dimuat turun dari Google Play Store atau App Store.

 _______________________________TAMAT______________________________ 

Pegawai Perhubungan Media: 

Noor Shahdiella Abd Manan shahdiella@cfm.my         019 – 324 6036 

Roharrashidah Abdul Halil    roharrashidah@cfm.my 017 – 896 1588 

Nur Shazwani Zainudin         shazwani@cfm.my          017 – 401 2010