~Terpelajar dan petah. Itu yang boleh digambarkan tentang Syed Saddiq, seorang pendebat terbaik Asia dalam kategori English as Second Language (ESL) dan salah seorang pensyarah sambilan paling muda dalam sejarah UIAM dan juga pemenang anugerah Pendebat Terbaik Asia sebanyak tiga kali. Beliau berkongsi tentang adab seni perdebatan dan bagaimana ia boleh digunakan dalam kehidupan seharian kita.~

Saya berasal dari Johor Darul Takzim dan berbangga menjadi anak Malaysia. Saya merupakan anak bongsu dari empat orang adik-beradik. Ibu saya adalah seorang guru sekolah menengah manakala ayah saya sudah bersara. Saya belajar di Maktab Tentera Diraja (RMC) di mana saya menamatkan kursus Latihan Asas Kententeraan saya dan persekolahan saya di situ. Saya kini seorang penyelidik bagi kumpulan pemikir tempatan, pensyarah sambilan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, kolumnis untuk Yahoo Malaysia dan MalaysiaKini juga seorang jurulatih debat bagi Pasukan Malaysia.

Lima tahun lepas, saya tidak pernah menjangka dengan apa yang telah saya capai pada hari ini. Apa yang paling memberi inspirasi kepada saya untuk melakukan semua ini kerana hasrat untuk mengibarkan bendera Malaysia di seluruh dunia. Saya ingin membuktikan kepada masyarakat dunia bahawa Muslim Malaysia juga kompeten setanding dengan cendekiawan terbaik dunia. Role model saya ialah ibu saya. Walaupun datang dari latar belakang yang serba kekurangan, beliau adalah seorang pejuang, tidak pernah mengalah dan seorang diplomat secara semula jadi.

Pada mulanya saya seorang yang tidak fasih bercakap dalam Bahasa Inggeris dan tidak mempunyai pengetahuan am yang luas. Saya menyertai pasukan debat pada tahun akhir saya di RMC dengan tujuan untuk memperbaiki Bahasa Inggeris dan pengetahuan am saya. Perdebatan saya yang pertama ialah pada kejohanan sekolah menengah bertanding dengan sekolah perempuan. Saya kalah tetapi ia satu pengalaman yang berharga.

Untuk menjadi lebih baik, saya berlatih cara pengucapan saya di hadapan cermin setiap hari. Latihan akan menjadikannya sempurna. Di dalam dunia perdebatan, minat dan usaha amat penting. Anda perlu banyak membaca untuk berdebat dengan lebih berkesan. Jika anda mahu menjadi pembahas yang diyakini, anda perlu membaca semua bahan bacaan! Itu adalah syarat utama bagi seorang pendebat. Anda perlu menjadi seperti ensiklopedia dan sedia berdebat mengenai pelbagai isu dari isu sukan hingga isu politik Palestin-Israel. Ini kerana dalam debat varsity topik hanya diberikan 15 minit sebelum debat bermula dan akses kepada internet tidak dibenarkan.

Ilmu perdebatan yang saya pelajari boleh digunakan dalam kehidupan seharian. Saya belajar untuk menjadi diplomatik dan kepentingan berpolitik dalam kehidupan. Ia boleh digunakan dalam kehidupan kita pada hari ini yang lebih banyak berinteraksi di media sosial yang memerlukan kita merumuskan hujah-hujah dengan baik dalam memberikan pendapat. Debat juga menjadikan saya seorang pembaca dan memberi saya peluang untuk menjadi seperti hari ini. Debat bukan hanya hobi tetapi ia adalah gaya hidup. Sifat pendebat tidak tamat di akhir pertandingan, tetapi ia membina diri anda.

TIP PENGGUNAAN MEDIA SOSIAL SYED SADDIQ

Ikuti Syed di Facebook, syed.saddiq.1 dan Instagram, @syedsaddiq

  • Jangan lontarkan sebarang hinaan kerana ia kelihatan kurang professional.
  • Sentiasa tenang ketika memberikan pendapat.
  • Sentiasa ingat bahawa media sosial adalah ruang awam.
  • Apa yang anda siarkan akan dinilai oleh orang ramai.
  • Dapatkan maklum balas daripada rakan-rakan dan keluarga.

Sumber : SHOUT Q4 2015, consumerinfo.my #interaksi #CFMmalaysia  #CFMshout