CYBERJAYA, 30 NOVEMBER 2019 –Dua forum di bawah seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) iaitu Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) dan Malaysian Technical Standards Forum Bhd (MTSFB), menjalin kerjasama buat pertama kalinya dengan menganjurkan program kesedaran bersama Universiti Multimedia Malaysia (MMU). Program sinergi industri iaitu “Triple M Explorace” diadakan bertujuan untuk menghubungkan antara forum dengan orang awam dan ahli-ahli industri bagi mempromosi peranan kedua-dua forum melalui aktiviti cabaran fizikal yang santai dan menyeronokkan.

Program Triple M Explorace berlangsung di kampus MMU Cyberjaya melibatkan 90 orang peserta terdiri daripada kakitangan swasta, ahli-ahli industri dan para pelajar MMU. Peserta dalam setiap kumpulan perlu melengkapkan semua cabaran di 11 stesen untuk memenangi hadiah utama yang ditawarkan. Aktiviti di setiap stesen akan menguji para peserta dari segi fizikal dan mental dengan cabaran pengetahuan berkaitan industri komunikasi dan multimedia.

“Program untuk mendidik pengguna mengenai hak-hak dalam industri komunikasi dan multimedia akan menjadi usaha yang berterusan bagi CFM. Program sinergi seumpama ini memberi peluang kepada pengguna Malaysia untuk mengetahui badan-badan lain yang turut menjadi pemangkin kepada teknologi masa hadapan negara. CFM percaya program Triple M Explorace ini adalah satu platform efektif untuk memudahkan informasi disampaikan kepada peserta dan pengguna secara keseluruhan,” kata Pengerusi CFM, Datin Mohana Mohariff.

Majlis penutupan program telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Korporat MCMC, Dato’ Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus. Hadir sama dalam program tersebut ialah Pengerusi CFM, Datin Mohana Mohariff; Pengurus Kanan MTSFB, Norazlina Dato’ Ghazali; dan Naib Presiden MMU, Zambri Pawanchik.

Juara bagi Triple M Explorace menerima hadiah wang tunai RM1200, manakala Naib Juara dan tempat ketiga masing-masing menerima hadiah wang tunai sebanyak RM900 dan RM600.

ExploreIT

#HakAndaKeutamaanKami

#JadilahPenggunaYangBijak

#AmbilTahu

#JadilahPenggunaCelikTeknologi

______________TAMAT______________

Mengenai CFM

Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) ditubuhkan pada bulan Februari 2001 dan telah ditetapkan sebagai salah satu forum industri oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), selaras dengan Peruntukan Seksyen 189 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM). Ia menjadi salah satu platform bagi industri dan pengguna/orang awam bagi menyumbang ke arah penambahbaikan perkhidmatan dan pembangunan polisi yang lebih baik dan konstruktif.

Peranan CFM bersama dengan pihak-pihak lain yang terlibat adalah untuk menggalakkan pembangunan industri komunikasi dan multimedia di Malaysia dan melindungi kepentingan pengguna dengan menggalakkan etika perkhidmatan berkualiti tinggi melalui kawal selia kendiri. CFM juga menjadi pemudah cara kepada pengguna untuk melaporkan aduan tentang perkhidmatan komunikasi dan multimedia.

Jika terdapat aduan mengenai perkhidmatan komunikasi dan multimedia yang tidak diselesaikan, pengguna boleh mengemukakan aduan melalui saluran berikut:


PORTAL ADUAN

https://aduan.skmm.gov.my

(sistem bersepadu bersama SKMM)

APLIKASI MUDAH ALIH Muat turun aplikasi “MY MOBILE RIGHTS” diGoogle Play Store dan App Store
PEJABAT

CFM

CFM, Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (MCMC), Off Persiaran Multimedia Jalan Impact, 63000 Cyberjaya, Selangor

Untuk dapatkan lebih banyak maklumat dan tip berguna, sila layari portal CFM:

CFM PORTAL www.cfm.mywww.consumerinfo.my