CARA MELINDUNGI DATA PERIBADI DAN PRIVASI ANDA DI DALAM TALIAN
1- DAPATKAN RANGKAIAN PERSENDIRIAN MAYA (VIRTUAL PRIVATE NETWORK, VPN)
Rangkaian Persendirian Maya atau VPN adalah perisian yang mampu menyulitkan data yang anda hantar dan terima secara dalam talian di samping menyembunyikan alamat IP sebenar anda. Data dalam talian secara asalnya tidak disulitkan, jadi VPN berfungsi untuk menyukarkan penyerang dalam talian di samping menjadikan aktiviti komunikasi anda lebih privasi dan selamat. VPN melakukannya dengan cara menyalurkan data ke saluran yang selamat secara sendiri dan mengelirukan IP anda supaya kelihatan seperti anda sedang log masuk dari tempat lain. Walaupun ia baik dan bagus, ia hanya melindungi satu daripada banyak peluang serangan oleh penceroboh dan ia perlu digabungkan dengan langkah-langkah keselamatan yang lain seperti yang disenaraikan di sini iaitu sistem keselamatan tembok api (firewall) dan perisian antivirus yang mantap. Ada pelbagai pilihan VPN yang wujud dan sesetengahnya ditawarkan secara percuma jika perkhidmatannya digunakan secara terhad. Manakala yang lain memerlukan bayaran langganan namun dengan pilihan yang lebih besar.
2- DAPATKAN PERISIAN ANTIVIRUS
Jika privasi anda pada peranti terganggu dengan virus jahat atau perisian hasad lain yang membuatkan peranti anda tidak boleh berfungsi dengan baik – sama ada pada komputer atau peranti mudah alih, penyerang boleh memintas apa sahaja yang anda lakukan tidak kira betapa kuatnya langkah keselamatan anda yang lain. Melaburlah pada perisian antivirus dan sistem keselamatan tembok api yang baik untuk menghalang serangan perisian hasad pada peranti-peranti anda dan juga sebagai sebahagian solusi berlapis untuk melindungi privasi anda. Sememangnya ia juga berkaitan dengan kesedaran yang betul terhadap apa yang anda muat turun dan apa yang anda layari di dalam talian. Selain itu, adalah menjadi kepentingan buat anda untuk menggunakan perisian yang sah dan bukan yang cetak rompak kerana ia mungkin boleh menjadi ‘sarang’ Trojan Horse yang sarat dengan perisian hasad yang boleh melemahkan dan menjadikan keupayaan pelindung bagi perisian antivirus tidak mencapai tujuanya. Perisian antivirus yang cekap juga boleh membantu memastikan virus yang lebih berbahaya seperti perisian tebusan (ransomware) dan seumpamanya tidak menjejaskan komputer anda secara berulang dan merosakkkan semua data anda.
3- BERHATI-HATI DENGAN APA YANG ANDA KONGSI DI MEDIA SOSIAL DAN INTERNET
Media sosial seperti yang kita lihat sebenarnya bukanlah ruang awam untuk kita menyatakan pendapat atau berkongsi keberadaan atau minat kita secara total. Memang kita tahu media sosial telah menjadi salah satu cara paling efektif untuk berkomunikasi dan berhubung dengan rakan dan keluarga tetapi apa yang anda hantar, tulis, komen, dan apa sahaja yang anda kongsi secara dalam talian hakikatnya tidak dianggap sebagai satu privasi walau dengan apa perkataan sekalipun. Walaupun anda cukup berhati-hati, penggodam-penggodam sering dapat meniru akaun, mencuri gambar anda atau rakan anda yang boleh didapati secara awam untuk meniru akaun anda yang sah dan kemudian mendapatkan lebih banyak data untuk langkah pencerobohan seterusnya. Mereka juga boleh memintas tetapan limitasi ‘rakan-rakan sahaja’ yang digunakan kebanyakan pengguna media sosial untuk mencipta akaun palsu. Sebaik sahaja mereka berjaya mencuri identiti anda, banyak lagi perkara buruk bakal berlarutan. Berhati-hati dengan apa sahaja maklumat dan maklumat peribadi yang anda letakkan di profil media sosial Walaupun mungkin anda bukan sasarannya, penggodam boleh mengambil sebahagian maklumat peribadi bahkan gambar anda untuk menyerang mangsa lain dengan apa yang telah mereka dapatkan daripada anda seperti nama pertama ibu anda, sekolah pertama anda, nama haiwan peliharaan anda, di mana anda bekerja dan banyak lagi. Elakkan daripada mengisi semua bidang di akaun media sosial anda seperti di mana anda tinggal, pekerjaan anda, nombor telefon, dan sebagainya untuk mengurangkan informasi yang anda berikan secara dalam talian. Anda juga mungkin perlu berhati-hati dan sentiasa menyemak tetapan privasi di semua laman media sosial anda supaya dapat mengehadkan apa yang anda kongsi kepada orang lain.
4- GUNAKAN KATA LALUAN YANG LEBIH KUAT DAN BERBEZA BAGI SETIAP AKAUN DALAM TALIAN
Akaun perbankan, e-mel dan media sosial anda semuanya bergantung kepada dua perkara – nama pengguna dan kata laluan. Malangnya, ia bukan sesuatu yang rumit buat penggodam yang nekad untuk meneka satu atau yang lain kerana ramai pengguna sering mencipta kata laluan berdasarkan sebahagian daripada maklumat peribadi yang senang mereka ingat. Butiran yang boleh dikumpulkan oleh penggodam di media sosial semuanya boleh digunakan untuk meneka kata laluan anda seperti nama, umur, tarikh lahir, nombor telefon, dan butiran peribadi ibu bapa dan pasangan. Pengguna juga sering mencipta kata laluan berdasarkan apa yang mereka mudah ingat dan sering diuji oleh penggodam. Antara yang sering digunakan seperti “0000”, “password”, “qwertyuiop” malahan nombor di papan kekunci “01234567890” semuanya terdedah kepada cubaan pencerobohan. Seperti yang telah diperkatakan sebelum ini, kata laluan yang kukuh perlulah unik dan bukan sesuatu yang boleh diteka oleh seseorang walaupun mereka memiliki maklumat peribadi anda.
Ia bermakna anda perlu mencipta kata laluan yang melibatkan gabungan nombor, simbol, huruf besar, huruf kecil dan sesuatu yang tidak boleh dijumpai di dalam kamus. Sebagai alternatif, anda juga boleh membeli aplikasi pengurus kata laluan untuk membantu menguruskan semua akaun anda dan mencipta kata laluan yang sangat unik di samping menguruskannya setiap kali anda log masuk ke akaun dalam talian. Langkah bijak yang lain adalah dengan memastikan anda menggunakan e-mel dan kata laluan yang berbeza untuk akaun yang berlainan. Sekiranya satu akaun anda diganggu, ia tidak akan mengakibatkan kehilangan maklumat dan akaun-akaun lain secara total oleh seorang penggodam.
5- PERHATIKAN LAMAN CARIAN YANG ANDA GUNAKAN
Kebanyakan laman carian yang popular akan mengesan setiap aktiviti dalam talian anda dalam beberapa bentuk dan cara supaya mereka dapat memberikan iklan produk yang bersesuaian dengan minat anda. Anda mungkin pernah mengalami situasi di mana anda menaip di dalam pertanyaan carian dan tiba-tiba paparan anda dipenuhi oleh iklan yang memaparkan item atau perkara yang anda sedang cari. Anda pasti akan mengalami sendiri fenomena yang pelik serta menakutkan ini. Kebanyakan laman carian popular mempraktikkan beberapa bentuk pengesanan sejarah pelayaran web bagi menyediakan iklan yang lebih baik buat anda walaupun ia juga memberi kesan buruk pada privasi anda. Walaupun pengguna yang bijak akan mencadangkan penggunaan mod inkognito yang terdapat pada banyak laman carian, namun ia tidak menyekat laman web untuk mengesan anda kerana ia hanya memastikan semua kuki dan data di pihak anda dihapuskan. Langkah lain yang lebih berhemah ialah dengan cara menguruskan kuki anda dengan lebih ketat dan membersihkan cache kuki dengan kerap supaya pihak ketiga tidak kerap mengesan anda dan tabiat melayari internet anda. Satu pilihan lain ialah dengan memilih laman carian yang melaksanakan polisi tiada-pengesanan seperti DuckDuckGo, Epic Browser dan Tor Browser.
6- SENTIASA PASTIKAN APLIKASI DAN SISTEM PENGENDALIAN ANDA DIKEMAS KINI
Salah satu cara penggodam menyelinap ke dalam privasi dalam talian anda ialah dengan menggunakan kelemahan pengaturcaraan yang diketahui dalam sistem pengendalian dan aplikasi untuk mengganggu sistem dan privasi anda. Sekiranya terdapat kemas kini yang disaran oleh pembangun aplikasi untuk telefon, komputer atau peranti anda, muat turun ia secepat mungkin kerana kebiasaannya ia disebarkan untuk menghalang eksploitasi atau potensi serangan oleh penggodam. Jika anda menggunakan sistem pengendalian yang tidak lagi disokong seperti versi Window yang lama atau aplikasi yang sistemnya kurang dikemas kini oleh pembangun, ia mempunyai risiko kerana ia memburukkan lagi masalah yang mungkin akan berlaku dan penggodam boleh mengganggu privasi dalam talian anda. Kebanyakan orang tidak melakukan kemas kini aplikasi disebabkan saiz muat turun yang besar dan juga ia sering datang pada waktu yang tidak sesuai. Antara waktu yang tidak sesuai itu ialah ketika sebelum pembentangan atau tarikh akhir yang penting. Namun ketahuilah usaha mengemas kini itu sangat bernilai untuk menyelamatkan anda daripada penyesalan seumur hidup.
7- BERHATI-HATI MENGGUNAKAN WIFI AWAM
Siapa yang tidak suka sesuatu yang percuma? Sesetengah tempat seperti kedai kopi atau pusat membeli-belah menawarkan sambungan WiFi percuma kepada pelanggan tetapi hakikatnya ia memiliki potensi untuk mendedahkan pengguna kepada bahaya. Penggodam boleh mengintip dan memintas apa sahaja yang anda lakukan apabila disambungkan ke WiFi percuma. Oleh kerana rangkaian WiFi awam secara umumnya boleh diakses oleh orang ramai, jadi tiada apa yang boleh menghalang penggodam untuk mengakses rangkaian WiFi yang sama dan mencari peluang kelemahan yang ada. Satu lagi cara serangan yang sering digunakan oleh penggodam ialah dengan mewujudkan hotspot wifi percuma yang kelihatan sah dengan menamakannya ‘Free WiFi’ atau sejenis tarikan yang sama dan penggodam mengharap ada orang yang akan log masuk supaya mereka boleh mendapatkan maklumat peribadi yang penting. Sekiranya anda benar-benar perlu menggunakan rangkaian WiFi awam, cuba elakkan daripada melakukan tugas penting seperti aktiviti perbankan atau mengakses fail bersekuriti tinggi. Gunakan Rangkaian Persendirian Maya (VPN) untuk mengurangkan sebarang potensi risiko walaupun adalah lebih baik jika anda menggunakan sambungan data milik anda sendiri.
Sumber: SHOUT 2019 EDISI BUMPER