“Media sosial adalah sesuatu yang sangat hebat… ia mesti digunakan dengan berhati-hati kerana ia boleh digunakan sama ada untuk tujuan baik atau buruk.” -Faiz Dickie-

 

~Personaliti online yang semakin dikenali ini mula mendapat perhatian dengan hasil karya humornya yang begitu dekat dengan kehidupan masyarakat Malaysia. Faiz Dickie berkongsi serba sedikit tentang kisah dan perancangannya pada masa akan datang.~

Saya dikenali dengan nama Faiz Dickie di laman sosial Instagram dengan karya lawak atas jenama saya sendiri. Saya sedang melanjutkan pengajian di Universiti Sussex, United Kingdom. Saya bermula dengan menghasilkan komik-komik lawak dan video pendek berbentuk parodi dua tahun lalu sekadar untuk suka-suka tetapi ramai yang suka menontonnya sehingga ia menjadi seperti apa yang berlaku sekarang.

Saya mendapat inspirasi daripada orang-orang terdekat dan apa yang berlaku di sekeliling saya dan saya akan lakukan lawak sindiran tentangnya. Menerusi karya lawak saya, saya telah mencipta beberapa watak dalam sebuah keluarga dan watak yang paling saya gemari ialah ‘Kak Leha Bunting’ kerana personalitinya seakan sama dengan diri saya sendiri. Dia berperwatakan sarkastik, agak kasar tetapi sebenarnya sangat penyayang. Walaupun karya saya sekarang ini lebih tertumpu kepada masyarakat Malaysia tetapi saya akan cuba menghasilkan karya yang dapat memenuhi cita rasa audiens luar negara.

Proses bagi menghasilkan video atau komik seperti yang saya lakukan tidak memakan masa yang sangat panjang – proses penggambaran, suntingan dan pasca penerbitan agak ringkas. Namun, bahagian yang paling sukar ialah semasa proses kreativiti untuk mendapatkan idea dan isi bagi sesuatu karya. Saya akan pastikan setiap karya yang dihasilkan itu mempunyai mesej dan sebab itu ia agak mengambil masa lama. Bahagian keterangan (kapsyen) bagi setiap video atau gambar juga proses yang memakan masa kerana saya perlu pastikan setiap apa yang saya tulis tidak disalahertikan oleh mereka yang menontonnya.

Saya gunakan kombinasi komputer riba dan telefon pintar –iaitu Samsung Galaxy Note 3 dan iPhone untuk kerja-kerja saya. Saya merakam video menggunakan iPhone dan menggunakan aplikasi CuteCut untuk suntingan. Untuk komik pula, saya gunakan Note 3 kerana skrinnya lebih besar. Komputer riba pula saya gunakan bila saya perlu lakukan suntingan yang lebih rumit. Saya merancang untuk mendapatkan iPhone 6 Plus kerana ia mempunyai skrin yang lebih besar.

Saya menggunakan Instagram sebagai platform pilihan kerana ia adalah laman sosial yang popular ketika saya mula menghasilkan video dan komik lawak saya. Media sosial adalah sesuatu yang sangat hebat. Dengan hanya berkongsi sesuatu perkara, ia boleh disebarkan kepada berjuta pengguna. Ia mesti digunakan dengan berhati-hati kerana ia boleh digunakan sama ada untuk tujuan baik atau buruk. Populariti adalah sesuatu yang sementara, jadi saya hanya mengikut haluan masa sejauh mana yang mampu saya lakukan buat masa sekarang ini dan akan datang. Saya berharap untuk menjadi seorang ahli akademik dan berkongsi pengalaman saya sebagai selebriti media sosial kepada generasi baru Malaysia.

PILIHAN FAIZ: TIGA VIDEO YANG AKAN MEMBUAT ANDA TIDAK KERING GUSI

Sarabanon

https://youtu.be/ludal5J8B_s

Video pertama saya yang membuatkan saya mempunyai ramai pengikut, menceritakan seorang gadis bernama Sarabanon yang tetap sesat walaupun menggunakan bantuan GPS.

Empat soalan

https://youtu.be/r24_mn_omhU

Video lawak ini berkisar tentang empat soalan utama dalam hidup yang sering ditanya kepada seseorang dan jawapan yang sering diberikan.

Rindukan Ibu

https://youtu.be/PV7-Xz00y6s

Video pendek tentang pengalaman saya sendiri yang berada di luar negara dan realiti hidup berjauhan dari kampong halaman.

Sumber : SHOUT Q1 2015, consumerinfo.my #connected #CFMmalaysia  #CFMshout