Menjadi yang terbaik dalam kalangan yang terbaik harus ada pengorbanan. Tidak ramai yang mahu berkorban untuk sesuatu hasil yang belum pasti. Hanya indivdu yang benar-benar berbakat dan berjiwa besar yang akan mampu melakukan sesuatu di luar daripada kebiasaannya. Hasilnya, sudah pasti kejayaan akan berpihak kepada mereka. SHOUT! H1 2016 ini menyingkap kejayaan dua individu berbakat besar sehingga mereka diiktiraf sebagai salah seorang daripada pemenang Agen Transformasi Nasional 2015.

  • BOLEH CERITAKAN LATAR BELAKANG PROJEK TRANSFORMASI YANG DICETUSKAN?      Projek ini bermula secara suka-suka pada tahun 2014. Pada ketika itu saya sedang melihat-lihat cetakan 3D dan kemudiannya terjumpa sebuah artikel berkaitan seorang budak dari Amerika Syarikat yang mendapat “tangan 3D” secara percuma. Jadi, dari situlah saya mula terfikir untuk menghasilkan tangan cetakan 3D ini. Saya memuat naik satu reka bentuk tangan cetakan 3D di Facebook saya untuk mencari individu yang boleh mencuba ciptaan saya ini. Namun, tidak ramai yang berminat. Selepas lapan bulan, saya ambil keputusan untuk berikan tangan cetakan 3D itu kepada seorang kanak-kanak perempuan, Ainaa Amanda yang berumur tujuh tahun selepas menonton video Ainaa yang tiada tangan. Dari situlah tangan cetakan 3D saya menjadi viral dan mendapat perhatian media sosial.
  • APAKAH KELEBIHANNYA?

Terdapat dua jenis tangan ciptaan saya, iaitu mekanikal dan elektronik. Elektronik ini maksudnya kita pakai bateri dan lebih mahal. Bagi yang kurang berkemampuan, kita pakai mekanikal. Sesiapa sahaja boleh menghasilkan cetakan 3D ini sekiranya memiliki cetakan 3D dan software 3D. Sesiapa sahaja boleh cetak kemudian beri kepada orang lain. Ciptaan ini tidak boleh diandaikan seperti tangan manusia, ia cuma sebagai alat bantuan sahaja. Ia bukan sahaja dapat membantu tugasan individu tersebut, malah membantu dari segi psikologi. Contohnya, seorang budak sekolah yang cacat tangannya akan berasa malu dan tersisih. Dengan menghadiahkan tangan 3D ini kepadanya, dia seolah-olah seperti robot, dan kawan-kawannya akan datang berkawan dengannya semula seperti biasa. Mungkin, selepas dua atau tiga bulan, dia tidak lagi memakai tangan 3D tersebut kerana dia sudah berasa selesa seolah-olah seperti manusia normal. Sasaran kita sekarang kepada psikologi dia, bukan tangan tersebut.

  • BAGAIMANA CIPTAAN INI DAPAT MEMBANTU MASYARAKAT?

Bayangkan anda tiada jari, kemudian saya berikan jari secara percuma. Apa perasaan anda? Gembira bukan? Apabila saya menciptanya saya sering letakkan diri saya dalam keadaan kekurangan seperti mereka.

  • KOS KESELURUHAN PROJEK?

Bergantung pada jenis kecacatan, kos sekitar RM300 ke RM1,000 setiap tangan mekanikal dan jika jenis elektronik RM2,500 ke atas.

  • BAGAIMANA UNTUK KITA LAHIRKAN LEBIH RAMAI ANAK MUDA YANG BERBAKAT BESAR SEPERTI TUAN?

Sebenarnya, minat dan keprihatinan itu penting dalam melahirkan lebih ramai anak muda dalam bidang ini. Saya perhatikan ramai yang berminat untuk menceburi bidang ini. Walaupun mereka tidak berbakat tetapi mereka masih boleh menyumbang material dan tenaga untuk membuat tangan cetakan 3D ini. Mereka juga boleh berkongsi tentang hal ini di Facebook sebagai tanda sokongan kepada projek ini.

  • TUAN SEORANG GURU BAHASA INGGERIS, KENAPA BERHENTI?

Ya, saya berhenti. Bukan kerana tidak minat mengajar tapi saya mahu mendapatkan pengalaman berlainan dalam menyampaikan ilmu.

  • APA LAGI YANG TUAN INGIN CAPAI?

Saya ingin menjadi pengeluar Printer 3D yang akan dipasang sendiri di sini. Sekarang pun sudah ada. Barang-barang mentah adalah 80 peratus dari luar negara dan 20 peratus dari dalam negara.

  • IDOLA DAN INSPIRASI?

Idola saya hanyalah seorang – Nabi Muhammad S.A.W dan inspirasi saya ialah Steve Jobs. S

Sumber : SHOUT H1 2016, consumerinfo.my #interaksi #CFMmalaysia  #CFMshout