CYBERJAYA, 3 MAC 2020 – Sebagai sebuah forum industri yang ditubuhkan untuk tujuan perlindungan pengguna dalam aspek penyediaan perkhidmatan (service provisioning) selari dengan Seksyen 189 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998, Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) dengan sokongan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengadakan sesi Perundingan Awam (Public Consultation) sebagai langkah terakhir dalam proses pindaan Kod Amalan Am Pengguna untuk Industri Komunikasi dan Multimedia Malaysia atau General Consumer Code of Practice for the Communications and Multimedia Industry Malaysia (GCC) bermula 3 Mac 2020 sehingga 16 April 2020 (45 hari).
Secara ringkas, GCC adalah kod industri sukarela (voluntary industry code) didaftarkan pada tahun 2003 oleh pihak MCMC yang berfungsi sebagai garis panduan dan penanda aras untuk penyedia-penyedia perkhidmatan (service providers) dalam menyediakan perkhidmatan komunikasi dan multimedia kepada pengguna. GCC sebelum ini telah melalui proses pindaan selari dengan perkembangan semasa industri. Justeru, proses perundingan awam ini dilaksanakan sebagai langkah terakhir pindaan sebelum pendaftaran versi terkini GCC oleh pihak MCMC. Ini adalah untuk memastikan pandangan kelompok awam (terutamanya pengguna) telah dirujuk dengan sewajarnya dalam penyediaan GCC versi baharu.
Fokus utama perundingan awam ini adalah meliputi lima (5) topik berikut:
- Perlindungan khusus untuk pengguna-pengguna yang mempunyai keperluan istimewa (special needs)
- Maklumat wajib berkenaan langganan melalui pengebilan langsung (direct carrier billing)
- Perihal pengemaskinian terma dan syarat kontrak perkhidmatan (renewal of service contract terms and conditions)
- Perkhidmatan perayauan antarabangsa (international roaming)
- Klasifikasi aduan bersifat ringkas (simple) dan rumit (complex)
Orang ramai digalakkan untuk memberikan maklum balas masing-masing kepada perundingan awam ini untuk memastikan GCC versi 2020 mengambil kira keperluan dan situasi semasa pengguna komunikasi dan multimedia Malaysia. Maklumat lanjut mengenai langkah pemberian maklum balas boleh didapati di laman sesawang https://www.consumerinfo.my.
CFM akan sentiasa berusaha untuk menjadi sebuah forum yang proaktif melalui komunikasi berterusan dengan pengguna menerusi aktiviti seperti dialog, forum, bengkel, kaji selidik dan program-program kesedaran yang lain.
#HakAndaKeutamaanKami
#JadilahPenggunaYangBijak
#AmbilTahu
#JadilahPenggunaCelikTeknologi
_______________________________TAMAT______________________________
Mengenai CFM
Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) ditubuhkan pada bulan Februari 2001 dan telah ditetapkan sebagai salah satu forum industri oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), selaras dengan peruntukan Seksyen 189 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM). Ia menjadi salah satu platform bagi industri dan pengguna/orang awam bagi menyumbang ke arah penambahbaikan perkhidmatan dan pembangunan polisi yang lebih baik dan konstruktif.
Peranan CFM bersama dengan pihak-pihak lain yang terlibat adalah untuk menggalakkan pembangunan industri komunikasi dan multimedia di Malaysia dan melindungi kepentingan pengguna dengan menggalakkan etika perkhidmatan berkualiti tinggi melalui kawal selia kendiri. CFM juga menjadi pemudah cara kepada pengguna untuk melaporkan aduan tentang perkhidmatan komunikasi dan multimedia.
Jika terdapat aduan mengenai perkhidmatan komunikasi dan multimedia yang tidak diselesaikan, pengguna boleh mengemukakan aduan melalui saluran berikut:
PORTAL ADUAN | https://aduan.skmm.gov.my(sistem bersepadu bersama MCMC) |
APLIKASI MUDAH ALIH | Muat turun aplikasi “MY MOBILE RIGHTS” diGoogle Play Store dan App Store |
PEJABAT | CFMSuruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (MCMC), Off Persiaran Multimedia Jalan Impact, 63000 Cyberjaya, Selangor |
Untuk dapatkan lebih banyak maklumat dan tip berguna, sila layari portal CFM:
PORTAL CFM | www.cfm.mywww.consumerinfo.my |