CYBERJAYA, 31 MAC 2020 – Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) sebagai sebuah forum yang mengutamakan kepentingan pengguna menyambut baik usaha kerajaan dengan kerjasama syarikat penyedia pekhidmatan (Telco) untuk menawarkan pakej khas internet percuma kepada semua pengguna pascabayar dan prabayar bermula 1 April 2020 sehingga tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat. Susulan daripada usaha tersebut, CFM berharap agar penyedia perkhidmatan dapat memastikan kualiti perkhidmatan pakej internet percuma yang diberikan kepada pengguna adalah pada tahap terbaik agar dapat membantu pengguna untuk terus kekal berhubung dan mendapatkan maklumat terkini dengan lebih pantas.

Pakej khas yang bernilai RM600 juta tersebut telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Muhyiddin Mohd Yassin melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat 2020. CFM menasihatkan semua pengguna agar terus mengikuti laman web dan laman sosial rasmi penyedia perkhidmatan masing-masing untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai pakej khas tersebut.

Sebelum bantuan ini diumumkan, terdapat beberapa syarikat penyedia perkhidmatan yang telah memberi tawaran kepada para penggunanya seperti menyediakan data tambahan, data percuma untuk berita terkini dan portal khas, bayaran balik kredit untuk tambah nilai digital, bantuan tambah nilai (SOS top-up), tawaran separuh harga untuk data tanpa had, akes tanpa had percuma kepada beberapa aplikasi, panggilan percuma ke perkhidmatan kesihatan dan CPRC Kebangsaan, juga termasuk tawaran tontonan percuma untuk rancangan televisyen terpilih. Inisiatif daripada penyedia perkhidmatan ini adalah untuk membantu para pengguna untuk kekal berada di rumah sepanjang tempoh PKP bagi memerangi wabak pandemik COVID-19 dalam negara.

“Melalui pelbagai inisiatif yang ditawarkan kepada pengguna menunjukkan komitmen daripada penyedia perkhidmatan untuk memahami cabaran dan situasi yang dihadapi pengguna dalam keadaan yang amat sukar ketika ini. Terima kasih kepada penyedia perkhidmatan atas usaha yang telah dilakukan untuk membantu para pengguna agar dapat kekal berhubung. Melalui tawaran internet percuma yang ditawarkan, CFM berharap agar pengguna dapat terus menikmati kualiti perkhidmatan yang terbaik,” kata Pengerusi CFM, Datin Mohana Mohariff.

Dalam pada itu, CFM juga memahami masalah rangakaian yang dihadapi pengguna ketika ini akibat kesesakan rangkaian yang berpunca daripada ramai pengguna yang menggunakan rangkaian di kawasan yang sama. Pengguna perlu memahami punca masalah ini berlaku adalah disebabkan banyak peranti mudah alih yang akan bersaing untuk mendapatkan sambungan pada rangkaian yang sama. Rangkaian akan menjadi sesak apabila ramai yang menggunakan aplikasi yang memerlukan peruntukan data yang banyak seperti perkongsian foto dan penstriman video.

Tambah Datin Mohana, “Apabila berlakunya masalah kesesakan rangkaian, ia boleh memberi kesan kepada prestasi peranti pengguna seperti penurunan kelajuan data. Pengguna juga akan mengalami masalah seperti panggilan terputus walaupun telefon mempunyai isyarat disebabkan rangkaian tidak mempunyai ruang yang cukup untuk menyambungkan panggilan.”

Oleh itu, CFM menyarankan agar pengguna melakukan self-troubleshooting jika menghadapi masalah kesesakan rangkaian seperti berikut dan boleh merujuk video pendek pada pautan di bawah bagi memahami penggunaan internet tanpa had:

NO TIPS MENANGANI MASALAH KESESAKAN RANGKAIAN
1 Tukarkan sokongan data mudah alih anda kepada rangkaian 3G atau 2G berbanding 4G/LTE. Pengguna akan mengalami data yang lebih perlahan dengan penggunaan rangkaian 2G atau 3G tetapi ia adalah alternatif yang berkesan apabila rangkaian 4G mengalami kesesakan.
2 Hadkan panggilan telefon jika tiada kes kecemasan, dan cuba untuk menghantar teks mesej sahaja kerana teks lebih mudah dihantar berbanding panggilan telefon.
3 Sekiranya anda gagal membuat panggilan telefon, tunggu 10 saat sebelum membuat panggilan semula.
4 Elak menggunakan aplikasi yang memerlukan peruntukan data yang banyak seperti perkongsian foto dan video, terutama sekali memuat naik video HD atau penstriman video.
5 Tukar tetapan untuk menonton video dalam kualiti yang lebih rendah berbanding memilih kualiti video HD.
6 Tutup aplikasi yang tidak digunakan (data akan digunakan di belakang layar) dan pantau jumlah data yang digunakan.
7 Nyah-aktifkan kemaskini atau penyelarasan data (data syncsecara automatik pada aplikasi lain. Contohnya, aplikasi e-mel yang sentiasa mengemas kini secara automatik dengan akaun pengguna yang boleh memperlahankan penggunaan data oleh aplikasi-aplikasi lain untuk mengakses rangkaian.
8 Gunakan aplikasi melajukan internet seperti Internet Speed Master, Internet Booster & Optimizer.
9 Restart telefon anda jika masih mengalami masalah yang sama.
10 Ikuti tips jimatkan jumlah penggunaan data mudah alih CFM:

https://www.consumerinfo.my/tips-jimatkan-jumlah-penggunaan-mobile-data-pada-ios-android/?lang=ms

11 Tonton video animasi CFM untuk memahami tentang faktor internet mudah alih anda menjadi perlahan:

https://www.consumerinfo.my/cfmanimatch-fair-usage-policy-84/

Terus ikuti media sosial CFM untuk mendapatkan maklumat terkini dan tips untuk pengguna dalam perkhidmatan komunikasi dan multimedia.

CFM menasihati pengguna agar terus menggunakan perkhidmatan telekomunikasi dengan berhemah dan jadilah pengguna yang bertimbang rasa agar kita semua dapat terus kekal berhubung.

_______________________________TAMAT______________________________

Untuk dapatkan lebih banyak maklumat dan tip berguna, sila layari portal CFM:

Pegawai Perhubungan Media:

Noor Shahdiella Abd Manan       [email protected]                  019-324 6036

Roharrashidah Abdul Halil         [email protected]             017-896 1588