CFM sentiasa menyarankan pengguna komunikasi dan multimedia untuk berhati – hati dengan penipuan melalui panggilan telefon dan khidmat Pesanan Ringkas (SMS). Kempen Kesedaran Pencegahan Jenayah Telekomunikasi yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) baru-baru ini dengan kerjasama pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi, telah mengenal pasti tiga modus operandi Jenayah Telekomunkasi yang anda perlu tahu seperti berikut:

1. PENIPUAN PANGGILAN (VISHING)

Pemanggil mengaku sebagai pegawai dari badan kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Bank Negara Malaysia (BNM), mahkamah ataupun badan swasta seperti institusi perbankan memberitahu bakal mangsa bahawa mereka mempunyai masalah dengan pihak berkuasa dan kemudiannya memperdaya mangsa untuk mendedahkan maklumat peribadi dan kewangan mereka.

TIPS ELAK MENJADI MANGSA PENIPUAN PANGGILAN (VISHING)

a. Jangan dedahkan sebarang maklumat dan maklumat peribadi untuk mengesahkan identiti anda. Sebaliknya, beritahu pemanggil yang anda akan menelefon semula dengan maklumat yang diperlukan. Pastikan nombor telefon yang membuat panggilan adalah nombor telefon yang telah disahkan di laman web rasmi syarikat pemanggil.

b. Dapatkan nama, pangkat termasuk jabatan dan nama organisasi mereka sebelum menjawab persoalan mereka atau mendedahkan maklumat anda.

c. Jika anda yakin panggilan itu adalah scam, laporkan kepada polis dan berikan rakaman atau nota yang anda ambil untuk memudahkan siasatan polis.

d. Gunakan aplikasi yang boleh mengenalpasti nombor yang tidak dikenali yang boleh didapati di Google Play, Apple Store dan Huawei AppGallery.

Untuk lanjut cara menghadapi panggilan scam layari https://consumerinfo.my/panggilan-palsu-dan-bagaimana-untuk-menghadapi-mereka/?lang=ms

2. PENIPUAN SMS (SMISHING)
Menghantar teks pesanan ringkas atau aplikasi pesanan kononnya daripada insititusi perbankan dan menyatakan terdapat transaksi perbankan telah dilakukan dan mangsa diminta untuk membuat pengesahan dengan menghubungi nombor talian atau klik pada pautan yang disertakan.

TIPS ELAK MENJADI MANGSA PENIPUAN SMS (SMISHING)

a. Jangan klik pautan di dalam mesej atau aplikasi pesanan yang diterima

b. Dapatkan kepastian dengan menghubungi nama syarikat yang digunakan

c. Jangan balas mesej dari sumber yang tidak sahih

d. Semak nombor telefon yang anda terima di https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum membuat laporan polis.

Hubungi CCID Scam Response Centre untuk membuat laporan polis di 3-26101559 dan 03-26101599, bermula dari pukul 8 pagi sehingga 8 malam, setiap hari.

3. PENIPUAN KOD TRANSAKSI PENGESAHAN (TAC)

Menghubungi mangsa menggunakan pelbagai medium sebelum meminta nombor TAC, kononnya tersalah memasukkan nombor telefon milik mangsa.

TIPS ELAK MENJADI MANGSA PENIPUAN KOD TRANSAKSI PENGESAHAN (TAC)

a. Jangan beri maklumat bank, butiran peribadi perbankan internet dan nombor TAC kepada pihak yang tidak dikenali atas apa alasan sekalipun.

b. Sentiasa menukar kata laluan perbankan dalam talian dengan segera jika pernah berkongsi maklumat dengan individu lain.

c. Maklumkan kepada pihak bank. Jika anda tidak pasti panggilan yang anda telah terima, atau secara tidak sengaja mendedahkan maklumat peribadi atau bank anda untuk tindakan selanjutnya daripada pihak bank.

* * *

Share this post if you liked it and follow us on Facebook, Twitter, and Instagram to stay up to date with the latest tips on Communications & Multimedia.

~consumerinfo.my :: another website by Communications & Multimedia Consumer Forum of Malaysia (CFM)~