Telefon pintar anda kini berfungsi lebih daripada sekadar membuat panggilan dan membolehkan anda untuk mengetahui apa yang sedang berlaku di media sosial. Jika anda seorang pengguna telefon pintar yang cekap, pastinya anda akan mengambil kesempatan daripada kemudahan yang ditawarkan oleh banyak institusi perbankan dan peruncit dalam talian pada hari ini dan menggunakan telefon pintar anda untuk membayar bil, memesan barangan runcit dan menjalankan perniagaan lain secara atas talian. Semua aktiviti kewangan ini hakikatnya telah menjadikan telefon anda sebagai sasaran yang menguntungkan bagi penjenayah.

Setelah mendapati bahawa kerja mencuri telefon pada hari ini agak leceh, penjenayah yang lebih licik telah mencipta cara yang lebih hebat untuk mencuri wang anda secara terselindung tanpa menyentuh telefon anda. Inilah penipuan terbaharu yang berpotensi melenyapkan wang simpanan anda dalam beberapa minit sahaja – Penipuan akaun telefon pintar.

APAKAH ITU PENIPUAN AKAUN TELEFON PINTAR?

Penipuan akaun telefon pintar berlaku apabila penjenayah cuba mendapatkan akses ke akaun telefon pintar anda dengan menggunakan dokumen yang dipalsukan dan kemudian cuba menukar kad SIM anda kepada kad SIM baharu milik mereka. Dengan menggunakan cara yang berkesan, mereka akan menyekat anda daripada melakukan apa-apa perkhidmatan. Ramai mangsa tidak tahu apa yang berlaku sehinggalah mereka tiba-tiba tidak mempunyai liputan perkhidmatan di telefon mereka dan pada waktu itu segalanya mungkin sudah terlambat. Dengan waktu yang singkat sahaja, segala panggilan, e-mel dan butiran lain akan berpindah ke kad SIM yang ‘baharu’. Ia berpotensi untuk penjenayah mendapatkan akses ke e-mel, akaun perbankan, media sosial mangsa dan banyak lagi. Sebab utama penjenayah melakukan cara ini adalah untuk memintas protokol keselamatan ‘two-factor authentication’ (pengesahan dua-faktor). Pengesahan dua-faktor ialah cara keselamatan yang telah dipertingkatkan di mana penyedia perkhidmatan menghantar kod ‘one-time’ yang unik melalui e-mel atau SMS ke telefon pintar anda yang kemudiannya boleh anda gunakan untuk log masuk bagi melakukan transaksi. Dengan ‘merampas’ nombor telefon anda, penjenayah boleh memintas pengesahan dua-faktor tersebut. Mereka juga boleh memindahkan wang keluar dari akaun anda dan menukar tetapan untuk melakukan lebih banyak cubaan penipuan di masa hadapan dengan menipu kenalan-kenalan anda, memohon pinjaman dan kad kredit, membeli barangan mahal dan banyak lagi!

BAGAIMANA CARA UNTUK MENGELAK DARIPADA PENIPUAN AKAUN TELEFON PINTAR?

Penipuan akaun telefon pintar merupakan gejala yang sangat bahaya kerana ia bukan sahaja mempunyai risiko untuk anda kehilangan wang tetapi juga membuat anda terdedah kepada bentuk penipuan yang lain. Berikut adalah beberapa langkah untuk memastikan anda tidak menjadi mangsa:

  • Muat turun aplikasi dari e-kedai aplikasi rasmi sahaja untuk meminimumkan kemungkinan serangan ‘malware’ (perisian hasad). Gunakan Google Play untuk Android dan Apple App Store untuk peranti iOS bagi memuat turun sebarang aplikasi.
  • Jangan lakukan transaksi perbankan, membeli-belah atau sebarang transaksi yang sensitif apabila menggunakan Wi-Fi awam percuma kerana ia membuka ruang buat penjenayah untuk mencuri kata laluan anda.
  • Berhati-hati apabila anda menerima e-mel atau panggilan telefon yang meminta anda memberikan butiran akaun atau meminta anda untuk mengklik pautan atau lampiran tertentu kerana laman web dan e-mel boleh dipalsukan dengan cara yang meyakinkan. Pergi ke laman web rasmi dan dapatkan pengesahan.
  • Jika sesiapa di rangkaian kenalan anda mula berkelakuan aneh seperti menghantar mesej kepada anda untuk mendapatkan maklumat peribadi atau wang anda, berhati-hatilah! Sindiket penipuan mungkin menyamar menjadi rakan anda dengan menggunakan akaun rakan anda yang telah digodam untuk mendapatkan data daripada anda.
  • Berhati-hati dengan orang yang membuat panggilan dan mendakwa sebagai pekerja bank atau pihak berkuasa kemudian meminta butiran akaun peribadi anda. Pihak berkuasa yang sah tidak memerlukan bantuan anda untuk mendapatkan semua maklumat tersebut.
  • Sebelum log masuk ke mana-mana laman web yang memerlukan data peribadi, semak terlebih dahulu dan pastikan laman web tersebut mempunyai ikon kunci tertutup di bahagian sudut laman sebelum anda meneruskan aktiviti seterusnya.
  • Beritahu bank anda untuk memaklumkan kepada anda jika berlaku transaksi yang luar dari kebiasaannya. Sekiranya telefon anda tidak berfungsi atau anda mengalami sebarang keanehan dalam pengebilan, hubungi khidmat pelanggan penyedia perkhidmatan anda dengan serta-merta.
  • Laburkan sedikit wang untuk mendapatkan sistem keselamatan anti-spyware dan anti-virus untuk PC dan telefon anda. Pastikan ia dikemaskini supaya dapat melawan malware yang cuba menyusup masuk ke peranti anda.

Sumber: SHOUT H1, 2018 #CFMmalaysia #GetSmarterWithConsumerinfo #HakAndaKeutamaanKami

* * *

Anda suka artikel, tip ini? Kongsikan di FacebookTwitter, dan Instagram anda. ‘Follow’ kami untuk ketahui lebih banyak tip & info terkini mengenai komunikasi & multimedia.

~consumerinfo.my :: another website by Communications & Multimedia Consumer Forum of Malaysia (CFM)~